KOTA BHARU, 24 Jun (Bernama) -- Kebakaran yang memusnahkan 27 rumah di Kampung Gok Kapur, di sini pada 8 Jun lepas berpunca akibat kecuaian ketika melakukan aktiviti pembakaran longgokan kertas di bahagian dapur sebuah rumah yang terlibat dalam kejadian itu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Farhan Sufyan Borhan berkata hasil siasatan Unit Forensik Kebakaran mendapati kebakaran berlaku akibat sumber api terbuka yang digunakan untuk membakar longgokan kertas secara terus di kawasan dapur.
“Dapatan daripada bahan bukti dan rakaman percakapan juga mendapati kejadian itu berpunca daripada pemetik api untuk peralatan gas yang digunakan bagi membakar longgokan kertas sehingga menyebabkan bahan mudah terbakar di sekitarnya turut terbakar sebelum api merebak ke bahagian lain termasuk rumah berdekatan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Farhan Sufyan berkata laporan siasatan akan diserahkan kepada polis dan pihak berkaitan untuk tindakan seterusnya sekiranya diperlukan.
“Kami ingin menasihati orang ramai agar berwaspada ketika menggunakan sumber api terbuka dan mengelakkan sebarang aktiviti pembakaran di dalam atau berhampiran dengan kediaman yang boleh mengundang risiko kebakaran,” katanya.
Dalam kejadian itu, sebanyak 27 rumah di Kampung Gok Kapur dilaporkan musnah dalam kebakaran, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
-- BERNAMA
