KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Sebanyak 8,615 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang telah ditubuhkan di seluruh negara bakal menerima lonjakan kapasiti operasi berikutan pengumuman kenaikan Geran Tahunan KRT daripada RM6,000 kepada RM10,000.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata peningkatan itu satu pengiktirafan besar terhadap peranan KRT sebagai institusi komuniti yang menjadi pemangkin perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat selama lebih lima dekad.
“Kenaikan geran ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh gerakan akar umbi yang menjadi nadi kepada pembinaan masyarakat yang bersatu padu dan progresif,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Program MADANI KITA bersama-sama KRT di Dataran Segamat, Johor berkata kerajaan bersetuju menaikkan geran tahunan bagi KRT di seluruh negara kepada RM10,000 berkuat kuasa Januari 2027.
Selain itu, Aaron berkata gerakan komuniti di bawah Kementerian Perpaduan Negara itu telah diperkasakan melalui pelbagai inisiatif yang melibatkan kira-kira 250,000 anggota KRT.
Langkah itu, menurut beliau telah memberi manfaat kepada lebih 12 juta rakyat Malaysia dengan pelaksanaan melebihi 100,000 aktiviti komuniti sepanjang tahun lepas.
“Kenaikan geran tahunan ini dijangka akan melonjakkan lagi kapasiti dan keupayaan KRT untuk melaksanakan program lebih berimpak tinggi termasuk aktiviti perpaduan, pembangunan komuniti, kebajikan, pendidikan, keselamatan kejiranan, kesukarelawanan serta pemerkasaan ekonomi setempat.
“Langkah ini juga membolehkan lebih banyak inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat dilaksanakan pada peringkat komuniti,” katanya.
Selain itu, Aaron menekankan semangat kejiranan sebagai asas kepada perpaduan negara manakala hubungan yang erat antara jiran tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang adalah kekuatan sebenar Malaysia sebagai sebuah negara majmuk.
Beliau berkata KRT telah membuktikan peranannya sebagai platform yang menyatukan rakyat, membina kepercayaan antara komuniti serta memperkukuh jaringan sosial yang menjadi benteng kepada keharmonian negara.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata kementerian tersebut komited untuk memastikan peruntukan tambahan ini dimanfaatkan sebaik mungkin agar KRT terus menjadi ejen penyatuan rakyat, memperkukuh semangat Malaysia MADANI serta menyumbang kepada pembinaan negara yang aman, bersatu dan sejahtera.
-- BERNAMA
