GOPENG, 25 Jun (Bernama) -- Walaupun terpaksa meninggalkan kediaman susulan kejadian kepala air yang menjejaskan Kampung Orang Asli (KOA) Ulu Geruntum di sini, sesi pembelajaran murid Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Geruntum yang terjejas tetap diteruskan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Bandaran Gopeng bagi memastikan mereka tidak tercicir dalam pelajaran.
Guru SK Ulu Geruntum, Nuraqilah Zairul Hisham berkata sesi persekolahan di PPS itu yang bermula sejak Isnin lepas dilaksanakan secara berjadual dan diselaraskan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinta Selatan.
“Keseluruhan murid yang terlibat adalah sebanyak tujuh orang (semua Orang Asli), iaitu daripada peringkat prasekolah hingga darjah enam, manakala sebanyak lapan guru ditugaskan secara bergilir-gilir di PPS ini.
“Dari sudut subjek yang diajar pula, sedikit berbeza apabila fokus diberikan kepada empat subjek teras, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, dengan sesi pengajaran dan pembelajaran dijalankan dari pukul 7.30 pagi hingga 12.30 tengah hari setiap hari,” katanya ketika ditemui Bernama di PPS berkenaan di sini, hari ini.
Guru berusia 29 tahun itu berkata persekitaran yang berbeza dari bilik darjah biasa menyebabkan tumpuan murid terhadap sesi pembelajaran sedikit terganggu pada peringkat awal.
Beliau berkata bagaimanapun, keadaan tersebut mula menunjukkan perubahan positif selepas pendekatan pengajaran yang lebih fleksibel dan bersesuaian dengan situasi diterapkan kepada murid berkenaan.
“Jika dilihat pada hari pertama, mereka memang agak terganggu. Mereka berasa kurang selesa dari segi emosi dan suasana pembelajaran kerana tidak belajar dalam keadaan yang biasa seperti di sekolah.
“Bagi memastikan mereka selesa, sebagai contoh saya membawa peralatan sendiri untuk digunakan oleh murid kerana kita memahami keadaan mereka di sini tidak seperti di sekolah. Cara ini juga secara tidak langsung menarik minat mereka untuk memberikan tumpuan kepada pelajaran,” katanya.
Sementara itu, murid tahun empat SK Ulu Geruntum, Wajuyanis a/p Bah Alang Satu berkata dia berasa gembira dapat mengikuti sesi pembelajaran di PPS berkenaan walaupun berada dalam keadaan yang berbeza daripada suasana sekolah biasa.
Anak bongsu daripada lima beradik itu berkata suasana tersebut tidak menghalang dirinya untuk terus belajar bersama-sama enam lagi rakan yang turut mengikuti sesi pembelajaran di PPS berkenaan.
“Cikgu pun baik dan mengajar seperti biasa walaupun suasana pembelajaran di sini berbeza. Saya tidak mahu ketinggalan dalam pelajaran, jadi saya cuba beri tumpuan sepenuhnya setiap kali sesi pembelajaran dijalankan di PPS ini,” katanya.
Pada 19 Jun lepas, kejadian kepala air yang berlaku di kampung tersebut menyebabkan lebih 50 mangsa, termasuk tiga bayi dan ibu mengandung dipindahkan ke PPS Dewan Bandaran Gopeng.
Operasi pemindahan itu dilakukan ekoran jambatan utama yang menghubungkan kawasan petempatan mereka runtuh akibat arus deras, sekali gus memutuskan laluan keluar masuk penduduk dan menyebabkan mangsa terkandas.
-- BERNAMA
