AM

JENAYAH CURI KABEL SUKARKAN PENGURUSAN BANJIR DI SELANGOR - EXCO

25/06/2026 08:48 PM

KUALA LANGAT, 25 Jun (Bernama) -- Kegiatan mencuri kabel dikenal pasti antara punca yang menyukarkan usaha pengurusan banjir di Selangor, kata Exco Infrastruktur dan Pertanian Datuk Izham Hashim. 

Beliau berkata hasil lawatan di Kampung RTB Bukit Changgang di sini, yang ditenggelami air akibat ban pecah, mendapati skru pada pam tidak berfungsi akibat kecurian kabel, sekali gus pengaliran keluar air terjejas. 

“Perkara ini saya dah bawa ke mesyuarat exco dan Ketua Polis Selangor, saya ada berbincang supaya dapat diberi perhatian kes kecurian kabel ini.

“… dan ini bukan kejadian pertama, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri juga ada kesan kegiatan sama di (projek) Kuala Selangor,” katanya ketika ditemui selepas melawat Ban Bukit Changgang, di sini hari ini. 

Izham berkata akibat kegiatan terbabit kerajaan negeri terpaksa menambah perbelanjaan antara RM200,000 hingga RM300,000 bagi menggantikan kerosakan akibat kecurian kabel. 

Beliau berkata sebagai langkah awal mengatasi masalah terbabit pihaknya sedang mempertimbangkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) serta langkah keselamatan yang sesuai agar jenayah terbabit dapat dibendung. 

Mengulas lanjut, Izham berkata kerja-kerja baik pulih ban berkenaan dijangka memakan masa dua hari, susulan pemeriksaan mendapati kerosakan berlaku di kawasan selekoh sungai yang merupakan kawasan sensitif. 

“Langkah awal yang telah kita laksanakan, antaranya menimbus kembali tanah dan memasang batu penampam … . Selain itu, dua pam mudah alih juga diletakkan bagi proses pengaliran keluar air yang menenggelami kawasan berkenaan," katanya.

Menurut laman web Infobencana JKM sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan RTB Bukit Changgang telah dibuka bagi menempatkan 423 mangsa daripada 199 keluarga setakat petang ini. 

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ashrul Riezal Asbar berkata setakat 7 malam, jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) dilaporkan meningkat kepada 522 orang daripada 233 keluarga.

Menerusi kenyataan, Ashrul Riezal memaklumkan Taman Langat Utama 2 dan Taman Langat Murni merupakan antara kawasan perumahan yang terjejas teruk, namun paras air di lokasi tidak menunjukkan peningkatan.

Katanya, sebanyak 15 pegawai dan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

Terdahulu media melaporkan sebanyak 32 rumah di Taman Langat Utama 2, RTB Bukit Changgang di Banting terjejas akibat banjir selepas berlaku kejadian ban pecah kira-kira 800 meter dari kawasan perumahan berkenaan malam tadi.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan