KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Rakyat yang layak mula menikmati penjimatan kos bahan api apabila pelaksanaan akses awal program BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) bermula hari ini, dengan proses pembelian diesel bersubsidi di stesen minyak di Semenanjung Malaysia berjalan lancar.
Akses awal BUDI Diesel di Semenanjung Malaysia menyaksikan diesel bersubsidi dijual pada harga RM2.15 seliter menggunakan pengesahan MyKad di stesen minyak yang mengambil bahagian, manakala pelaksanaan penuh bermula pada 1 Julai di seluruh negara, dengan harga diesel bersubsidi RM2.10 seliter kepada rakyat Malaysia yang layak.
Tinjauan Bernama di sebuah stesen minyak di Jalan Tun Razak di sini mendapati proses pembelian diesel bersubsidi menggunakan MyKad berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
Seorang pengguna, Hazwan Nik Ismail, 28, berkata proses mengisi minyak menggunakan MyKad tidak rumit dan hanya mengambil masa yang singkat.
“Proses permohonan bagi mendapatkan subsidi diesel ini juga mudah kerana boleh dibuat secara dalam talian,” katanya.
Di KEDAH, penyelia sebuah stesen minyak di Seberang Pendang, Mohd Faizal Ishak berkata pihaknya telah menjalankan ujian sistem sebanyak dua kali pada semalam dan hari ini bagi memastikan proses transaksi berjalan lancar.
Setakat 11 pagi tadi, katanya hampir 10 pelanggan yang layak telah berjaya menikmati kemudahan tersebut tanpa sebarang gangguan.
Dalam pada itu, pengusaha kebun durian Ai Tean Ai Ching, 65, berkata pelaksanaan subsidi bersasar BUDI Diesel amat membantu rakyat yang berdepan peningkatan kos sara hidup.
"Saya kerja di kebun sahaja. Hari ini saya isi diesel RM70 dan memperoleh 32.56 liter. Jika tanpa subsidi, saya perlu membayar RM132.51. Bantuan ini benar-benar meringankan beban," katanya.
Di PERAK, peniaga makanan secara kecil-kecilan Mohammad Fairuz Ramli, 46, berkata penggunaan kenderaan pacuan empat roda penting bagi urusan mendapatkan bekalan dan penghantaran dengan perbelanjaan bahan api mencecah hampir RM1,000 seminggu.
“Apabila kerajaan memperkenalkan inisiatif ini, sekurang-kurangnya dapat membantu saya menjimatkan kira-kira 30 hingga 40 peratus perbelanjaan diesel. Ini boleh digunakan untuk menampung kos operasi perniagaan yang lain,” katanya.
Di SELANGOR, pemilik syarikat logistik Muhammad Khoidin, 42, berkata syarikatnya kembali “bernafas” susulan pelaksanaan BUDI Diesel yang membantu meringankan beban kewangan akibat kenaikan harga diesel di pasaran.
“Operasi syarikat kecil saya ini berpotensi merudum namun kini saya boleh menarik nafas lega apabila kerajaan melaksanakan mekanisme subsidi bersasar,” katanya.
Di PAHANG, Marilyn Shi Ming, 42, berkata dia sebelum ini jarang menggunakan kenderaan pacuan empat roda miliknya berikutan harga diesel yang mahal.
"Sebelum ini, saya hanya panaskan enjin dan memandu seketika, sekarang boleh bawa jauh sedikit," katanya.
Bagaimanapun, Marilyn berharap kerajaan dapat mempertimbangkan semula mekanisme kuota BUDI Diesel yang ketika ini dikongsikan dengan kuota BUDI RON95.
Di KELANTAN, seorang pengguna Mohd Asri Musa, 60, berkata pelaksanaan BUDI Diesel memberi kelegaan kepada pemilik kenderaan diesel sepertinya yang terkesan dengan peningkatan harga bahan api itu.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia Datuk Seri Haniff Omar ketika dihubungi berkata mekanisme subsidi bersasar melalui program BUDI Diesel lebih adil dan memastikan bantuan disalurkan kepada rakyat yang benar-benar layak.
“Perbezaan harga diesel bersubsidi dan tanpa subsidi agak besar, jadi bantuan ini mampu mengurangkan beban pengguna yang tiada pilihan selain menggunakan kenderaan diesel setiap hari,” katanya.
-- BERNAMA
