ISTANBUL, 27 Jun (Bernama-Anadolu) -- Perancis mula melonggarkan amaran gelombang haba pada tahap tertinggi pada Sabtu apabila suhu menurun secara beransur-ansur di bahagian barat negara itu, walaupun puluhan wilayah pentadbiran masih berada di bawah amaran merah dan hospital terus berdepan tekanan yang semakin meningkat, lapor Anadolu Ajansi dengan memetik penyiar tempatan.
Agensi meteorologi kebangsaan Perancis, Meteo-France, memaklumkan 37 wilayah pentadbiran masih berada di bawah amaran merah gelombang haba, berbanding 50 pada hari sebelumnya selepas 13 wilayah pentadbiran diturunkan kepada status amaran jingga.
Menurut penyiar Perancis BFMTV, baki amaran merah itu dijangka ditarik balik menjelang petang Ahad apabila cuaca lebih sejuk mula melanda seluruh negara berkenaan.
Agensi itu turut memberi amaran bahawa 34 wilayah pentadbiran berada di bawah amaran jingga berikutan ribut petir yang teruk pada Sabtu, dengan ramalan ribut kuat disertai hujan batu, angin kencang dan hujan lebat di beberapa kawasan.
Pada Ahad, 24 wilayah pentadbiran, terutama di timur Perancis dan wilayah Paris, dijangka kekal berada di bawah amaran merah gelombang haba, manakala 46 lagi berada di bawah amaran jingga.
Gelombang haba yang berpanjangan itu memberi tekanan yang semakin meningkat terhadap sistem penjagaan kesihatan Perancis.
Public Assistance–Paris Hospitals (AP-HP) memaklumkan hampir 3,000 pesakit dimasukkan ke jabatan kecemasan dalam tempoh 24 jam lalu, meningkat 36 peratus berbanding hari biasa.
Institusi itu turut melaporkan bahawa perkhidmatan perubatan kecemasan di wilayah Paris menerima hampir 80 peratus lebih banyak panggilan berbanding tempoh sama tahun lepas.
Pihak berkuasa kesihatan mengaktifkan pelan tindak balas kecemasan hospital tertinggi negara yang dikenali sebagai "plan blanc" di hospital-hospital di wilayah Paris pada Jumaat, sekali gus membolehkan kemudahan kesihatan menyusun semula perkhidmatan, memanggil semula kakitangan serta menangguhkan prosedur yang tidak mendesak jika perlu.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Stephanie Rist berkata beliau mengadakan mesyuarat secara dalam talian dengan anggota Parlimen bagi meneliti langkah-langkah untuk melindungi golongan rentan.
Pihak berkuasa turut membatalkan atau melarang beberapa acara berskala besar di Paris berikutan kebimbangan bahawa perhimpunan besar-besaran boleh terus membebankan perkhidmatan kecemasan dan hospital.
-- BERNAMA-ANADOLU
