AM

PENAGIH DADAH SINTETIK MERANGKUMI 84 PERATUS BELIA - AADK

27/06/2026 04:18 PM

KEPALA BATAS, 27 Jun (Bernama) -- Trend penyalahgunaan dadah sintetik terus meningkat serta membimbangkan apabila jumlah keseluruhan penagih bahan itu merangkumi 84 peratus golongan belia berumur 15 hingga 39 tahun.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Ruslin Jusoh berkata dadah jenis amphetamine-type stimulants (ATS) seperti syabu, pil kuda dan ekstasi merupakan antara bahan yang paling banyak disalahgunakan.

''Hal ini merupakan satu angka yang membimbangkan kerana majoriti penagih dadah sintetik adalah dalam kalangan belia yang sepatutnya menjadi aset penting kepada pembangunan negara dan kira-kira 73 peratus daripada keseluruhan kes penagihan dadah sekarang ini membabitkan dadah sintetik, manakala selebihnya ialah dadah tradisional seperti heroin dan ganja.

''Kita melihat dadah sintetik ini semakin diterima sebagai sebahagian daripada gaya hidup segelintir golongan muda kerana mudah diperoleh dan memberikan kesan yang lebih cepat berbanding dadah tradisional dan berlaku peningkatan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan 2026 di sini, hari ini.

Majlis yang berlangsung di Dataran Sungai Muda Kampung Titi Merdeka, di sini dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib dan turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Dr Awang Alik Jeman dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan Negeri Daniel Gooi Zi Sen. 

Mengulas faktor peningkatan itu, Ruslin berkata pengaruh rakan sebaya, akses yang mudah terhadap dadah sintetik dan kesannya yang lebih pantas berbanding dadah tradisional antara punca utama belia terjebak, malah penyalahgunaan dadah sintetik juga dilihat semakin menjadi budaya atau gaya hidup dalam kalangan segelintir belia.

Selain itu, katanya, masalah peribadi dan kekeluargaan termasuk konflik rumah tangga serta hubungan sosial turut dikenal pasti sebagai antara faktor yang mendorong golongan muda mengambil dadah bagi melepaskan tekanan.

Sementara itu, beliau berkata negeri-negeri di Pantai Timur dikenal pasti antara kawasan yang mencatat kadar penagihan dadah sintetik tertinggi di negara ini, khususnya membabitkan pengambilan pil kuda.

"Trend itu selari dengan peningkatan ketara penggunaan dadah sintetik yang kini menguasai sebahagian besar kes penagihan dadah di Malaysia, kalau kita tengok sudah tentu negeri-negeri Pantai Timur juga antara yang tertinggi, khususnya melibatkan pengambilan pil kuda.

"Bagaimanapun, kita tidak nafikan negeri-negeri Pantai Barat juga kadar penagihannya tinggi, cuma di Pantai Timur, pil kuda menjadi antara dadah yang lebih dominan berbanding heroin atau ganja,'' katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan