AM

PENDEKATAN PENGUATKUASAAN MODEN, BERSEPADU PERLU BAGI TANGANI ANCAMAN DADAH

27/06/2026 12:50 PM

KEPALA BATAS,  27 Jun (Bernama) -- Perkembangan teknologi digital kini dimanipulasi sindiket antarabangsa untuk memperluas rangkaian pengedaran dadah melalui platform komunikasi sulit, pasaran gelap digital dan transaksi kewangan tanpa sempadan, sekali gus menjadikan ekosistem jenayah dadah semakin kompleks, bersifat hibrid serta sukar dikesan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata situasi itu menuntut pendekatan penguatkuasaan yang lebih moden, bersepadu dan berasaskan risikan bagi menangani ancaman dadah yang semakin berkembang.

"Ancaman dadah sintetik seperti methamphetamine dan fentanyl turut memberi kesan serius terhadap keselamatan serta kesihatan global kerana mampu menyebabkan ketagihan melampau, gangguan mental dan tingkah laku ganas, selain fentanyl yang boleh membawa maut walaupun dalam dos kecil.

"Perkembangan itu menunjukkan bahawa dadah sintetik bukan lagi isu jenayah semata-mata tetapi ancaman keselamatan manusia yang menjejaskan kesejahteraan masyarakat dan masa depan generasi," katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan 2026, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Dr Awang Alik Jeman dan sambutan dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib serta turut dihadiri Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Ruslin Jusoh dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan Negeri Daniel Gooi Zi Sen.

Saifuddin Nasution berkata statistik 2025 merekodkan sebanyak 191,832 penyalah guna dan penagih dadah berbanding 192,857 orang pada 2024, iaitu penurunan sebanyak 0.5 peratus namun angka itu masih membimbangkan dan memerlukan tindakan bersepadu semua pihak.

Katanya, trend semasa menunjukkan dadah sintetik jenis amphetamine-type stimulants (ATS) seperti syabu, ekstasi dan pil kuda terus mendominasi penyalahgunaan dadah di negara ini dengan 73,611 individu atau 72.92 peratus daripada keseluruhan kes yang dikesan hingga Mac 2026 membabitkan dadah jenis itu.

"Negeri-negeri sempadan seperti Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah terus merekodkan kadar penagihan serta penyalahgunaan dadah tertinggi manakala Pulau Pinang berada di kedudukan keenam dengan kadar 757 orang bagi setiap 100,000 penduduk berbanding kadar nasional 560 orang," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata Kerajaan MADANI memperkukuh usaha membanteras dadah melalui penggunaan analitik data raya dan kecerdasan buatan (AI) bagi mengenal pasti trend serta kawasan berisiko dengan lebih tepat, disokong perkongsian risikan antara agensi dan pelaksanaan intervensi berasaskan komuniti.

Saifuddin Nasution berkata pindaan kepada Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 turut dilaksanakan bagi memperluas akses kepada rawatan dan pemulihan, selaras dengan komitmen kerajaan menangani ancaman dadah secara menyeluruh.

Saifuddin Nasution berkata Malaysia mengangkat tema "Pencegahan Dadah Tanggungjawab Bersama" sempena sambutan Hari Antidadah Antarabangsa tahun ini, yang menekankan usaha memerangi dadah bukan hanya tanggungjawab kerajaan, sebaliknya memerlukan penglibatan aktif seluruh lapisan masyarakat.

Beliau turut menyeru pemimpin politik, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, pertubuhan bukan kerajaan, institusi pendidikan, sektor swasta, badan korporat serta komuniti agar bersama-sama menjadikan pencegahan dadah sebagai agenda nasional demi melindungi generasi masa depan.

Sementara itu Gooi berkata kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM325,000 bagi pelaksanaan pelan tindakan lima tahun hingga 2030, sebagai pelaburan strategik dalam membangunkan modal insan yang lebih sihat, berdaya tahan dan bebas daripada ancaman dadah demi masa depan Pulau Pinang yang lebih sejahtera.

Katanya, kerajaan negeri juga kekal komited melaksanakan pendekatan menyeluruh yang merangkumi aspek penguatkuasaan, pencegahan, rawatan dan pemulihan dalam menangani ancaman dadah secara berkesan.

"Antara inisiatif utama yang digerakkan termasuk Program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD), SKUAD Antidadah Pulau Pinang, Pendekatan Penang Lawan Ancaman Dadah (PLAD) serta Kampung Aspirasi Bebas Dadah (KABD) sebagai usaha memperkukuh intervensi di peringkat komuniti," katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan