POLITIK

PRN JOHOR: BEKAS AHLI PKR BERTANDING ATAS TIKET PARTI BERSAMA TIDAK JEJAS KEKUATAN PH - DR ZALIHA

27/06/2026 06:24 PM

JOHOR BAHRU, 27 Jun (Bernama) — Kehadiran beberapa bekas ahli PKR yang bertanding sebagai calon Parti Bersama Malaysia (Bersama) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak akan menjejaskan sokongan akar umbi kepada calon Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi PKR Johor Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata kesatuan seluruh anggota PKR untuk menghadapi saingan daripada mana-mana parti bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor kekal utuh ketika ini.

“Itu pilihan mereka untuk keluar daripada PKR dan seterusnya bertanding di bawah tiket Bersama, tetapi setakat yang kita lihat ketika ini, terutama pada hari penamaan calon pagi tadi, sokongan anggota parti dan masyarakat di setiap kawasan itu amat baik sekali.

“Pada masa sama kita juga ambil pendekatan perkukuhkan kempen dengan meletakkan pimpinan utama di setiap kawasan yang ditandingi , selain melakukan pendekatan ‘negeri angkat’ bagi membantu kempen parti di setiap DUN,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PKR Johor, di sini, hari ini.

Untuk rekod, antara bekas ahli PKR Johor yang bertanding pada PRN kali ini di bawah tiket Bersama ialah Stanley Tan di DUN Stulang, yang pernah bertugas di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasrullah Mohd Nasir, selain Dr Zamil Najwah, bekas calon PKR bagi DUN Larkin pada PRN Johor 2022.

Dr Zaliha berkata kempen PH juga akan memberi penumpuan kepada usaha memberi kefahaman kepada pengundi tentang isu bersifat global, terutamanya berkaitan bekalan dan harga minyak serta krisis di Asia Barat.

“Kerana kita lihat ada usaha untuk menyerang PKR dan PH termasuklah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu minyak dan bekalan tenaga. Jadi kita akan tingkatkan usaha santuni rakyat, beri penjelasan serta kefahaman kepada mereka bahawa isu ini bersifat global.

“Rakyat perlu diberi penjelasan tuntas bahawa isu itu bukan berpunca kelemahan pentadbiran perdana menteri, sebaliknya Datuk Seri Anwar Ibrahim  berusaha bersungguh -sungguh antaranya ke Rusia dan Turkmenistan untuk memastikan bekalan stabil di pasaran,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai calon Menteri Besar Johor sekiranya PH berjaya memenangi PRN Johor, Dr Zaliha berkata perkara itu akan diperincikan oleh pimpinan tertinggi melibatkan parti PKR, Amanah dan DAP.

DUN Johor yang mempunyai 56 kerusi dibubarkan pada 1 Jun lepas dan SPR menetapkan 7 Julai ini bagi hari pengundian awal, manakala 11 Julai sebagai hari mengundi.

Berdasarkan statistik SPR, PRN kali ini melibatkan sebanyak 2,727,926 pemilih berdaftar terdiri daripada 2,703,175 pengundi biasa, 12,041 anggota tentera dan pasangan, serta 12,710 anggota polis dan pasangan.

Bagi mendapatkan berita terkini tentang PRN Johor ke-16, sila layari https://prn.bernama.com/johor.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan