AM

KEMPEN BELI BARANGAN MALAYSIA KINI DIJENAMAKAN KEPADA JOM MALAYSIA - ARMIZAN

28/06/2026 12:47 AM

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Selepas diperkenalkan empat dekad lepas, kempen Beli Barangan Malaysia kini dijenamakan semula sebagai Jom Beli Produk Malaysia (JOM MALAYSIA) bagi memperkukuh jenama produk dan perkhidmatan tempatan, di samping memupuk semangat patriotisme ekonomi dalam kalangan rakyat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata transformasi itu bukan sekadar melibatkan perubahan nama atau logo, sebaliknya merangkumi anjakan kepada objektif, strategi dan teras gerakan bagi menggalakkan rakyat mengutamakan produk tempatan, serta merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

“Ini bukan sekadar perubahan kepada logo atau nama, tetapi melibatkan anjakan kepada objektif, strategi dan teras gerakan untuk memartabatkan produk tempatan.

“Kita mahu menjadikan Jom Beli Produk Malaysia sebagai satu gerakan nasional yang berakar umbi kepada nilai dan semangat patriotisme, khususnya patriotisme ekonomi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Festival Jom Malaysia X Pesta Kita di Pasar Seni, di sini hari ini.

Beliau berkata gerakan itu akan dilaksanakan menerusi pendekatan menyeluruh negara (whole-of-nation), melibatkan kerjasama kementerian, agensi kerajaan, pemain industri, peniaga dan rakyat bagi memastikan usaha memperkukuh penggunaan produk tempatan dapat digerakkan secara menyeluruh.

Armizan berkata penjenamaan semula itu turut memperluas skop kempen, yang sebelum ini lebih tertumpu kepada barangan, produk dan perkhidmatan tempatan, selaras dengan perkembangan ekonomi negara yang menyaksikan sektor perkhidmatan semakin berkembang.

Beliau berkata sasaran kempen itu bukan hanya pengguna tempatan, malah pelancong dan warga asing, sekali gus membantu mempromosikan produk Malaysia ke pasaran antarabangsa.

KPDN juga akan terus memperkukuh usaha membantu usahawan tempatan menerusi pelbagai program pemasaran, promosi dan bimbingan yang dilaksanakan secara rentas kementerian serta agensi.

“Pendekatan kerajaan bukan sekadar menstabilkan harga barang dan perkhidmatan, tetapi juga meningkatkan pendapatan rakyat. Satu daripada kaedahnya ialah membantu usahawan mengembangkan perniagaan mereka sehingga mampu menembusi pasaran global,” katanya.

Sementara itu, menurut kenyataan KPDN, pelancaran JOM MALAYSIA diadakan bersempena Festival Jom Malaysia X Pesta Kita yang berlangsung di Pasar Seni dari 26 hingga 28 Jun, melibatkan 123 usahawan dan pempamer dari seluruh negara.

Festival itu menampilkan pelbagai produk dan perkhidmatan buatan Malaysia merangkumi sektor makanan dan minuman, fesyen, kraf tangan, produk gaya hidup, kosmetik, teknologi serta industri kreatif, selain menjadi platform menghubungkan usahawan, pengeluar, peruncit, pemain industri, agensi kerajaan dan pengguna.

Bagi memperkukuh pelaksanaan inisiatif itu sepanjang tahun ini, kementerian akan melaksanakan beberapa program strategik termasuk KITA KLIK! menerusi kerjasama dengan platform e-dagang, program Kita Untuk Kita bersama rangkaian pasar raya dan peruncit tempatan, kolaborasi dengan Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) serta Local to Global Retail Programme.

Menurut KPDN, sektor perdagangan borong dan runcit negara terus mencatat pertumbuhan positif dengan nilai jualan mencecah RM1.87 trilion pada 2025, sekali gus membuktikan potensi besar produk dan perkhidmatan tempatan untuk terus berkembang dengan sokongan pengguna dan pemain industri.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan