AM

ANGKASA LULUS ENAM RANCANGAN PERNIAGAAN TERMASUK PEMILIKAN EKUITI BOOST BANK

27/06/2026 07:45 PM

PETALING JAYA, 27 Jun (Bernama) -- Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) meluluskan enam rancangan perniagaan baharu dengan nilai keseluruhan RM293 juta bagi memacu hala tuju ekonomi gerakan koperasi negara untuk masa hadapan.

Presidennya Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata kesemua rancangan itu mendapat kelulusan sebulat suara dalam Mesyuarat Agung Tahunan Perwakilan ANGKASA (MAPA) ke-40 yang berlangsung hari ini.

Beliau berkata antara portfolio utama yang diluluskan, termasuklah pelaburan dan pemilikan ekuiti dalam Boost Holding Sdn Bhd bagi membolehkan ANGKASA melalui MyANGKASA Digital Services (MDS) memiliki pegangan dalam Boost Bank, sebuah institusi perbankan digital tempatan.

"Penglibatan ANGKASA dalam bank digital ini merupakan kesinambungan daripada perancangan tahun-tahun sebelum ini selepas disyorkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

"Langkah strategik ini akan membuka ruang dan peluang yang lebih besar kepada gerakan koperasi serta ahlinya untuk akses kepada kemudahan pembiayaan yang lebih fleksibel," katanya kepada pemberita selepas merasmikan MAPA ke-40 di Wisma Ungku A. Aziz, di sini.

Abdul Fattah berkata memandangkan ANGKASA bergerak sebagai sebuah entiti koperasi, pelaksanaan ‘exercise’ pembelian saham itu kini sedang menunggu kelulusan rasmi daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Selain pemilikan ekuiti bank digital, MAPA ke-40 turut meluluskan beberapa usul perniagaan lain, termasuk pelaburan RM30 juta untuk penjenamaan semula anak syarikat MyANGKASA Ventures Sdn Bhd bagi menceburi bidang takaful digital, serta peruntukan RM36 juta bagi penubuhan 11 pusat dialisis baharu milik ANGKASA.

“Bagi projek dialisis, sasaran jangka panjang kami adalah untuk mewujudkan Pusat Dialisis Negara, khususnya bagi membantu menampung keperluan pesakit buah pinggang baharu di Malaysia yang dianggarkan mencecah 5,000 hingga 7,000 orang setiap tahun," katanya.

Pada mesyuarat itu, perwakilan turut meluluskan usul untuk memohon pertimbangan kerajaan bagi menambah peruntukan bajet sebanyak RM500 juta tahun ini, bagi memperkasakan sektor peruncitan, teknologi, pertanian dan keterjaminan makanan koperasi.

ANGKASA juga akan mengemukakan usul kepada kerajaan untuk mengecualikan cukai sebanyak tiga peratus ke atas sumbangan Tabung Pendidikan dan Tabung Pembangunan Koperasi bagi meringankan beban kewangan sektor berkenaan.

Mesyuarat agung tahunan yang dihadiri 5,687 perwakilan secara fizikal dan dalam talian itu turut memilih Datuk Ibrahim Abdullah dan Zaharuddin Alias sebagai Naib Presiden ANGKASA yang baharu.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan