PUTRAJAYA, 29 Jun (Bernama) -- Penerbit Rancangan BERNAMA Radio Siti Hashmarr Mohd Hashim, dipilih sebagai penerima Anugerah Liputan Media Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) bagi kategori Radio, pada Majlis Pengiktirafan Reformasi Kerenah Birokrasi di sini malam ini.
Beliau menerima pengiktirafan itu menerusi laporan khas bertajuk “Revolusi Rumah Mampu Milik Johor” dan membawa pulang sijil penghargaan serta wang tunai RM10,000, yang disampaikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Siti Hashmarr berkata beliau pada mulanya hanya menyahut galakan Ketua Jabatan Radio BERNAMA ketika itu Azlan Idris, yang mengajak kakitangan menghantar penyertaan bagi anugerah berkenaan.
“Alhamdulillah, saya memang tidak sangka akan menerima anugerah ini. Semasa mula-mula dimaklumkan mengenai pertandingan ini, arwah bos, Azlan Idris, menggalakkan kami menghantar penyertaan.
“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua ketua jabatan di Radio BERNAMA, khususnya rakan sepasukan saya Shuhadah Armawan. Tanpa beliau, saya tidak akan berada di sini malam ini.
“Walaupun hanya satu nama boleh dicalonkan, kemenangan ini sebenarnya adalah hasil kerja berpasukan,” katanya.
Turut mengharumkan nama BERNAMA pada majlis itu ialah pegawai berita Mohd Ashraf Syafiq Mazlan, yang memenangi tempat ketiga kategori Artikel menerusi karya “Reformasi Kerenah Birokrasi KPKM Pacu Sektor Agromakanan, Penjimatan Besar Negara”, serta Mohd Noor Iqram Rosli, yang memenangi sagu hati kategori Televisyen menerusi laporan bertajuk “Penilaian Sistematik RKB Bantu KRT Bukit Durian Perkasa Ternakan Ayam Belanda.”
Majlis Pengiktirafan RKB dianjurkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), bagi menghargai kejayaan pelaksanaan projek RKB yang telah menyumbang kepada pengurangan beban peraturan, serta meningkatkan kecekapan dan produktiviti perkhidmatan awam.
Sebanyak 14 projek RKB Berimpak Tinggi menerima pengiktirafan kerajaan hari ini, sebagai usaha menghargai komitmen kementerian, agensi dan kerajaan negeri dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam, serta meningkatkan produktiviti dan daya saing negara.
Majlis hari ini menyaksikan penyampaian sijil kepada 86 Projek RKB Berpotensi Tinggi, 12 penerima kategori Pencapaian Bilangan Projek RKB Siap Tertinggi, serta tiga penerima Anugerah Khas RKB.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Hadir sama Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian, Setiausaha Kerajaan Negeri, pengurusan perkhidmatan awam dan negeri, penyelaras RKB serta wakil projek.
-- BERNAMA
