AM

MOTAC PERKUKUH STRATEGI, TUMPU PASARAN STABIL DAN BERPRESTASI TINGGI

27/06/2026 10:51 PM

IPOH, 27 Jun (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Tourism Malaysia sedang memperkukuh strategi dengan memberi tumpuan kepada pasaran berprestasi tinggi dan stabil termasuk China, Indonesia, Jepun dan India.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Chiew Choon Man berkata ia termasuk memberi tumpuan kepada pasaran jarak jauh seperti Rusia, Jerman dan Australia bagi memastikan kepelbagaian pasaran.

Beliau berkata kementerian itu juga akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan industri bagi menangani cabaran operasi dan tekanan kos. 

“Momentum sektor pelancongan negara berada pada trajektori yang positif. 

“Sehingga Mei tahun ini, negara telah menerima sebanyak 17.5 juta pelawat, meningkat 3.4 peratus berbanding 16.9 juta pada tahun lepas. Prestasi semasa ini membuktikan kita berada di landasan kukuh untuk mengekalkan momentum positif pada 2026,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Festival Budaya Malaysia (FBM) 2026 di Bulatan Sultan Azlan Shah di sini malam ini. 

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Shaharuddin Abu Sohot. 

Sementara itu, Chiew berkata MOTAC sentiasa komited meletakkan seni dan budaya sebagai daya tarikan utama dalam mempromosikan Malaysia di pentas dunia, terutama bagi menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Beliau berkata melalui sinergi dengan kerajaan negeri seperti Perak, kebudayaan tidak lagi terperangkap sebagai khazanah masa lepas, sebaliknya bangkit sebagai pemacu ekonomi dinamik yang mampu mengangkat martabat jati diri rakyat di persada dunia.

“Sinergi pelancongan budaya ini sangat penting kerana apabila kita memperkasakan budaya tempatan seperti tarian dabus, labu sayong, seni sulaman tekat benang emas mahupun keunikan gastronomi Ipoh, kita sebenarnya sedang membina produk pelancongan mampan yang bernilai tinggi. 

“Ini adalah strategi serampang dua mata untuk kita memelihara jati diri bangsa dan pada masa sama, melonjakkan ekonomi akar umbi melalui industri kreatif,” katanya. 

Justeru, Chiew berkata sokongan padu dalam bentuk pembangunan infrastruktur sangat kritikal bagi memastikan hasrat dan momentum pembangunan ini tidak terhenti. 

Beliau berkata bagi negeri Perak, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), Kerajaan Persekutuan melalui MOTAC memperuntukkan RM44,189,100 melibatkan 13 projek, iaitu enam projek berskala besar dan tujuh projek penyelenggaraan atau peningkatan kemudahan pelancongan berjumlah RM1,393,000.

Enam projek pembangunan berskala besar itu adalah memulihara Menara Condong di Teluk Intan dan menaik taraf bangunan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Cawangan Perak. 

Projek lain adalah menaik taraf kawasan pelancongan di Kinta Riverwalk, menaik taraf dan mengubah suai bangunan informasi sedia ada kepada Lumut Mangrove Discovery Center, Manjung, membangunkan persisiran Sungai Bernam di Bandar Tanjong Malim, Perak serta membangunkan ekopelancongan Lata Puteh, Selama. 

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan