AM

KERAJAAN PERUNTUK RM7.66 JUTA BANGUN PPKB BINA BAHARU PERTAMA NEGARA DI BATU PAHAT

28/06/2026 02:00 PM

BATU PAHAT, 28 Jun (Bernama) -- Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Medan, di sini, yang bernilai RM7.66 juta merupakan fasiliti bina baharu pertama seumpamanya yang siap sepenuhnya di Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Majlis Pengurusan Bencana Negara berkata pusat tersebut merupakan usaha kerajaan untuk memperkukuh kesiapsiagaan negara dalam menghadapi bencana dan melindungi kebajikan rakyat.

Beliau berkata Batu Pahat dipilih sebagai lokasi projek rintis tersebut berikutan daerah itu dikenal pasti sebagai antara kawasan berisiko tinggi, termasuk merekodkan 17 kali kejadian banjir bagi tempoh 2022 hingga 2026 yang melibatkan pemindahan keseluruhan seramai 36,000 mangsa.

"Pembangunan PPKB merupakan anjakan dalam pengurusan bencana negara bagi memastikan sesi persekolahan tidak terganggu apabila dewan atau bilik darjah digunakan sebagai pusat pemindahan.

"Saya takkan nak menyusahkan guru besar atau pelajar atau guru di sekolah ini untuk menggunakan dewan yang kecil ataupun bilik darjah untuk menempatkan mangsa banjir," katanya semasa merasmikan PPKB tersebut, di sini, hari ini.

Fasiliti komprehensif yang mampu menampung 500 mangsa pada satu-satu masa itu dilengkapi dewan terbuka, dua gelanggang futsal, ruang memasak, tandas, surau, bilik rawatan serta blok penginapan khas bagi warga emas, wanita dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut menyarankan agar komuniti setempat kreatif dalam memanfaatkan fasiliti serbaguna tersebut untuk aktiviti luar musim banjir termasuk menjadikannya gelanggang sukan pickleball buat golongan muda dengan syarat aspek penjagaan premis sentiasa diutamakan.

Pembinaan projek berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif strategik di bawah Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 yang menyasarkan sekurang-kurangnya sebuah PPKB dibangunkan di setiap negeri secara berperingkat mengikut keperluan.

Sehingga kini, kerajaan sedang dalam pelaksanaan sembilan projek rintis PPKB bermula 2024, disusuli enam projek baharu dan tiga projek menaik taraf di seluruh negara pada 2025.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan