SARIKEI, 28 Jun (Bernama) -- Peserta Program Bantuan Lesen Memandu (BLM) dari kawasan luar bandar di Parlimen Julau melahirkan rasa syukur selepas berjaya memperoleh Lesen Memandu Percubaan (PDL) Kelas B2, sekali gus melayakkan mereka membeli petrol bersubsidi.
Seorang peserta, Bajik Undum, 57, dari Rumah Ajau, Ulu Kuntau, Pakan berkata sebelum ini beliau yang menggunakan motosikal untuk ke kebun dan mengangkut hasil pertanian membeli petrol RON95 mengikut harga pasaran kerana tidak memiliki lesen memandu.
"Kini saya sudah memiliki lesen memandu yang sah dan layak membeli petrol bersubsidi," katanya kepada Bernama selepas Program BLM Kelas B2 2026 anjuran Parlimen Julau yang disertai 885 peserta di Stadium Tertutup Julau hari ini.
Majlis itu disempurnakan Ahli Parlimen Julau Datuk Larry Sng Wei Shien dan turut dihadiri Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak Norizan Jili.
Bajik, peserta wanita tertua program itu, berkata lesen memandu yang diperoleh bukan sahaja membolehkannya menunggang motosikal secara sah, malah mengurangkan beban perbelanjaan harian apabila layak membeli petrol bersubsidi.
Sementara itu, peserta tertua, Kudang Jenggi, 64, berkata beliau kini boleh membeli petrol bersubsidi selain menunggang motosikal dengan lebih yakin untuk bekerja, menziarahi keluarga dan membeli keperluan harian.
"Kini saya tidak lagi bimbang jika melalui sekatan jalan raya kerana sudah mempunyai lesen memandu yang sah. Paling penting, saya juga layak membeli petrol pada harga subsidi," katanya yang bekerja sebagai penjaga rumah burung di Bayong, Sarikei.
Bagi Daniel Padong, 45, dari Rumah Pom, Ulu Amot, Pakan, motosikal merupakan pengangkutan utama untuk berulang-alik ke kebun kelapa sawit setiap hari.
Beliau berkata peningkatan harga petrol sebelum ini menambah beban perbelanjaan, namun memperoleh lesen memandu melalui program berkenaan membolehkan beliau menikmati petrol bersubsidi, sekali gus mengurangkan kos perjalanan hariannya.
--BERNAMA
