KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Batik Air akan meningkatkan kekerapan penerbangan laluan Bintulu-Kuala Lumpur kepada dua kali sehari mulai 20 Julai, sekali gus menawarkan penumpang lebih banyak pilihan perjalanan, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.
Dalam hantaran di Facebook, beliau berkata pertambahan itu disahkan susulan komunikasi dan penyelarasan aktif dengan syarikat penerbangan berkenaan bagi menangani kebimbangan orang ramai berhubung kadar tambang serta ketersediaan penerbangan.
Tiong berkata menerusi jadual baharu itu, penerbangan dari Kuala Lumpur ke Bintulu akan berlepas pada 10 pagi dan 2.30 petang setiap hari, manakala penerbangan dari Bintulu ke Kuala Lumpur akan berlepas pada 1.10 tengah hari dan 5.40 petang.
“Pengurangan penerbangan serta kenaikan mendadak harga tiket menyebabkan banyak rungutan daripada orang ramai. Pada asalnya, saya menggesa penambahan dua penerbangan sehari. Selepas berunding, syarikat penerbangan itu memutuskan untuk terlebih dahulu melaksanakan satu penerbangan harian tambahan secara tetap dengan menyediakan kapasiti yang bersesuaian serta masa yang sesuai bagi perkhidmatan tersebut.
“Sekiranya permintaan terus meningkat pada masa hadapan, cadangan pertambahan satu lagi penerbangan akan dinilai semula, yang berpotensi meningkatkan kekerapan penerbangan kepada tiga kali sehari,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bintulu.
Tiong berkata kemajuan ekonomi Bintulu telah mendorong peningkatan permintaan perjalanan berkaitan urusan perniagaan, pendidikan, rawatan perubatan dan pelancongan, selain beliau juga menyampaikan kebimbangan masyarakat berhubung keperluan menyediakan penerbangan yang mencukupi serta tambang berpatutan.
Beliau turut menggesa syarikat penerbangan itu memastikan kestabilan operasi serta meningkatkan kekerapan penerbangan bagi mengelakkan pembatalan secara kerap atau perubahan jadual pada saat akhir yang boleh menjejaskan perancangan perjalanan penumpang.
“Dalam proses penyelarasan, saya mencadangkan agar mereka mengekalkan tambang pada harga yang munasabah setakat yang dibenarkan oleh keadaan pasaran. Perkara ini penting bagi mengurangkan beban orang ramai yang melakukan perjalanan antara kedua-dua lokasi serta mengelakkan harga tiket yang tinggi menjadi tekanan jangka panjang.
“Saya yakin bahawa apabila harga tiket beransur-ansur stabil, perkara itu akan membantu meningkatkan pertumbuhan jumlah penumpang, sekali gus mewujudkan situasi menang-menang bagi syarikat penerbangan dan penumpang,” katanya.
Beliau berkata penambahbaikan perkhidmatan penerbangan memerlukan kerjasama rapat antara kerajaan, syarikat penerbangan dan pihak berkuasa berkaitan, sambil menambah bahawa perkara utama yang menjadi perhatian orang ramai ialah pilihan penerbangan yang lebih banyak serta tambang yang berpatutan.
“Pertambahan penerbangan ini bukan sahaja akan membantu mengurangkan kekurangan bekalan semasa, malah turut memudahkan lagi perjalanan penduduk Bintulu dari dan ke Semenanjung Malaysia serta kawasan lain, sekali gus memenuhi permintaan perjalanan yang semakin meningkat,” katanya.
-- BERNAMA
