JASIN, 28 Jun (Bernama) -- Pantai Siring di Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam bakal dibangunkan secara berfasa sebagai produk pelancongan baharu Melaka, sekali gus menjadi pantai awam negeri yang mampu merancakkan ekonomi setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam Datuk Zaidi Attan berkata pembangunan kawasan itu kini berada pada peringkat awal selepas kerja pengambilan tanah bagi pembinaan jalan baharu selesai dilaksanakan.
"Ketika ini kerajaan sedang menjalankan kajian Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) selain kajian impak ekonomi dan sosial sebelum pelan pembangunan menyeluruh dilaksanakan.
"Kita akan bangunkan kawasan ini secara berfasa. Perancangannya ialah menjadikan Pantai Siring sebagai pantai awam negeri, pusat penjualan hasil laut serta lokasi tumpuan makanan dan rekreasi," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Fasiliti Komuniti sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Serkam di sini hari ini.
Majlis itu disempurnakan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Zaidi berkata Festival Pantai Siring yang akan diadakan hujung minggu depan sempena Majlis Penutup Program WRUR DUN Serkam turut menjadi platform memperkenalkan potensi kawasan itu kepada orang ramai.
Dalam pada itu, beliau berkata sempena WRUR DUN Serkam, sebanyak 30 program disusun sepanjang minggu pelaksanaannya dengan tumpuan utama diberikan kepada penyelesaian isu dan aduan rakyat.
"Program yang paling penting ialah sesi aduan rakyat kerana matlamat WRUR bukan sekadar menghimpunkan orang ramai, tetapi mencari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi penduduk," katanya.
Katanya, DUN Serkam juga akan menjadi lokasi pertama Program Jelajah Ketua Menteri: Sayang Rakyat pada 5 Julai ini, melibatkan beberapa pengisian termasuk gotong-royong, penyampaian sumbangan kepada golongan memerlukan, ziarah pesakit serta sesi bersama komuniti.
-- BERNAMA
