KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Program Citra Malaysia “Colours of Malaysia” siri dua terus menjadi platform memperkenalkan identiti Malaysia menerusi persembahan tarian dan nyanyian yang mencerminkan kekayaan seni budaya negara kepada masyarakat tempatan dan pelancong asing.
Program anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Pasar Seni dan Pesta Kita itu bukan sekadar persembahan kebudayaan semata-mata, malah menjadi pentas memperkenalkan keunikan serta kepelbagaian kaum di Malaysia.
Timbalan Ketua Pengarah (Kebudayaan dan Kesenian) JKKN Mohd Radzi Omar berkata “Colours of Malaysia” mempunyai skop yang luas, namun pada tahun ini pihaknya memberi fokus kepada seni persembahan.
"Kalau kita lihat tadi, pelbagai genre tarian dipersembahkan dari Semenanjung hingga tarian kebudayaan Sabah dan Sarawak, termasuk Orang Asli.
"Inilah yang kita nak tunjukkan bahawa aspek seni persembahan di Malaysia cukup kaya dengan warna-warni persembahan," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada program Citra Malaysia di Pasar Seni, di sini hari ini.
Beliau berkata menerusi persembahan kebudayaan seumpama itu, ia turut membantu mempromosikan budaya Malaysia kepada pelancong asing yang berkunjung ke Pasar Seni.
Mohd Radzi berkata program Citra Malaysia itu diadakan dengan sasaran minimum tiga kali setahun di setiap negeri, namun kebiasaannya jumlah penganjurannya melebihi sasaran yang ditetapkan.
Program “Colours of Malaysia” siri dua membawa tema “Cultural Dance Troupe” yang menampilkan tarian Mentera Semerah Padi, Sigar Birami, zapin, Inang Payung, Joget Berpaut Kasih, tanglung, sewang, Kolasu dan Anggalang Magunatip.
Sementara itu, pelancong dari Algeria Farid Djoudi berkata persembahan seni menerusi program “Colours of Malaysia” memberi peluang kepadanya mengenali kepelbagaian budaya Malaysia yang berbilang kaum dan agama.
"Persembahan yang menarik. Ia melambangkan budaya Malaysia yang berbeza kaum, budaya dan agama," katanya.
Pelancong dari Gansu, China, Rainey Wei pula berkata beliau agak terpegun apabila menyaksikan persembahan yang menggunakan alat muzik tradisional China.
"Saya rasa ia sangat unik dan hebat. Alat muzik yang digunakan, saya rasa ia alat muzik tradisional China (Guzheng), saya sangat mengenalinya dan teruja melihat ia dimainkan di sini," katanya.
-- BERNAMA
