KUCHING, 29 Jun (Bernama) -- Pelaksanaan program subsidi Diesel BUDI MADANI (BUDI Diesel) di seluruh negara bermula pada 1 Julai dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh mekanisme subsidi bersasar serta mengurangkan ketirisan.
Ketua Pegawai Eksekutif SEDC Energy (SEDCE), Robert Hardin berkata program itu juga akan meningkatkan ketelusan dan menyokong kemampanan kerangka subsidi bahan api negara bagi jangka masa panjang.
Beliau berkata SEDCE, yang bertanggungjawab membangunkan perniagaan runcit petroleum hiliran di bawah jenama Stesen Pelbagai Bahan Api (MFS) Petros, bersedia melaksanakan program BUDI Diesel menerusi seluruh rangkaian stesen minyaknya.
“SEDCE memperoleh pengalaman daripada pelaksanaan awal program BUDI MADANI RON95 (BUDI95), yang membolehkan kami terus memperkukuh kesediaan operasi, latihan kakitangan dan penyepaduan sistem.
“Pada 24 Jun lepas, SEDCE berjaya mengadakan demonstrasi secara langsung mengenai kesediaan untuk pelaksanaan Program Diesel BUDI MADANI bersempena dengan lawatan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. Demonstrasi itu menunjukkan kesediaan sistem dan proses operasi kami bagi memastikan program ini berjalan lancar bermula 1 Julai,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Hardin berkata program BUDI Diesel juga akan menyumbang kepada mekanisme pengagihan bahan api yang lebih cekap dan mampan.
“Dalam jangka masa panjang, inisiatif ini akan menyokong kestabilan pasaran yang lebih baik serta pengurusan fiskal yang lebih bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata SEDCE kekal komited untuk memastikan peralihan kepada pelaksanaan Program BUDI Diesel berjalan lancar, di samping terus memberikan perkhidmatan terbaik sepanjang tempoh pelaksanaannya.
“Pengguna dan perniagaan yang layak digalakkan mendaftar bagi Program BUDI MADANI serta memahami syarat-syaratnya sebelum pelaksanaannya pada Rabu ini.
“Kami juga menyarankan pelanggan supaya sentiasa mengikuti pengumuman rasmi dan mendapatkan bantuan daripada kakitangan MFS Petros sekiranya memerlukan panduan,” katanya.
Sehingga kini, SEDC Energy telah membuka 12 stesen MFS Petros di seluruh Sarawak, iaitu di Darul Hana (Kuching), Daro, Kanowit, Kuala Matu, Brooke Drive (Sibu), Selangau, Tatau, Kapit, Sungai Asap, Jepak, Bintulu dan Batu Kawa.
Selain menyediakan bahan api konvensional, stesen utama itu turut menawarkan kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV) serta perkhidmatan pengisian semula hidrogen.
-- BERNAMA
