Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah
KOTA TINGGI, 29 Jun (Bernama) -- Status 'underdog' (bukan pilihan) di kawasan yang sering dianggap kubu kuat Barisan Nasional (BN) tidak sedikit pun mematahkan semangat calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Raja, Mohd Fakharuddin Moslim.
Sebaliknya, Ketua Penerangan PKR Johor itu melihat kedudukannya sebagai pencabar di Pasir Raja sebagai peluang terbaik untuk membawa naratif pembangunan yang lebih segar dan seimbang kepada masyarakat setempat.
Berbekalkan pengalaman luas dalam arena politik serta kerja kemasyarakatan sejak 2010, Mohd Fakharuddin tekad membawa anjakan pembangunan lebih menyeluruh kepada penduduk sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Mengulas mengenai manifestonya, beliau berkata fokus utama akan diberikan kepada tiga teras penting iaitu pemerkasaan belia, penambahbaikan prasarana dan kebajikan masyarakat.
“Langkah pertama yang akan saya ambil ialah mewujudkan ekosistem ekonomi setempat yang lebih mampan untuk golongan muda bagi mengekang trend penghijrahan ke bandar besar seperti Kulai, Johor Bahru dan Singapura,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
Menurut beliau, usaha itu akan diperkukuh menerusi pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), selain menyediakan sokongan bersasar kepada usahawan muda di kawasan berkenaan.
Selain aspek ekonomi, Mohd Fakharuddin turut meletakkan isu prasarana sebagai agenda kritikal, khususnya melibatkan kualiti jalan raya, kemudahan awam serta capaian internet yang dikenal pasti masih memerlukan penambahbaikan di beberapa lokaliti.
Bagi menyantuni golongan rentan seperti warga emas, ibu tunggal dan keluarga B40, beliau berjanji memastikan bantuan kebajikan disalurkan dengan lebih cekap dan menyeluruh tanpa kerenah birokrasi yang membebankan.
Beliau turut berhasrat membawa budaya kepimpinan ‘tanpa protokol’ bagi merapatkan jurang antara wakil rakyat dan rakyat.
“Saya mahu masyarakat dapat menghubungi saya secara terus, berbincang secara santai seperti sahabat dan menganggap saya sebahagian daripada keluarga mereka kerana pintu pejabat saya sentiasa terbuka untuk rakyat,” katanya.
Mengulas cabaran bertanding di kubu kuat BN, beliau berkata tidak berdepan tekanan psikologi sepanjang tempoh berkempen, sebaliknya melihat situasi semasa memberi kelebihan kepada PH susulan beberapa isu dalaman yang melanda parti lawan.
“Kita juga perlu melihat komposisi pengundi muda yang merangkumi 54 peratus daripada keseluruhan pengundi berdaftar di DUN ini. Oleh itu, saya mengaplikasikan strategi kempen serampang dua mata dengan mengimbangi pendekatan digital dan fizikal,” katanya.
Mohd Fakharuddin bakal berdepan saingan tiga penjuru di DUN Pasir Raja yang mempunyai 29,818 pengundi berdaftar, menentang calon BN, Datuk Seri Dr Adham Baba dan calon Perikatan Nasional (PN), Yuhanita Yunan.
PRN Johor dijadual berlangsung pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal ditetapkan pada 7 Julai.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.
-- BERNAMA
N35: PASIR RAJA: 29,818 pengundi
1. Datuk Seri Adham Baba (BN-UMNO)
2. Yuhanita Yunan (PN-PAS)
3. Mohd Fakharuddin Moslim (PH-PKR)
(2022: Rashidah Ismail: BN-UMNO: Maj: 4,888)
