AM

PERKESO KELANTAN SALUR HAMPIR RM3.5 JUTA BAYARAN FAEDAH KEPADA PEKERJA, WARIS

29/06/2026 05:14 PM

PASIR MAS, 29 Jun (Bernama) -- Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan menyalurkan hampir RM3.5 juta bayaran faedah kepada pekerja dan waris bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Timbalan Pengarahnya Nor Aziemah Ismail berkata jumlah terbesar melibatkan bayaran Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) berjumlah RM2.388 juta.

“Bayaran itu diberikan kepada pencarum yang mengalami kemalangan ketika bekerja dan menyebabkan mereka tidak dapat menjalankan tugas buat sementara waktu.

“Perkeso turut menyalurkan sebanyak RM73,000 bagi Faedah Orang Tanggungan kepada waris pekerja yang meninggal dunia akibat bencana pekerjaan,” katanya ketika ditemui pemberita di Taman Mekasar di sini hari ini.

Nor Aziemah berkata hampir RM1 juta telah dibayar bagi Faedah Pengurusan Mayat kepada waris pekerja yang meninggal dunia sepanjang tempoh tersebut.

“Setiap tuntutan layak menerima bayaran sebanyak RM3,000 dan kita sentiasa memberi keutamaan untuk meluluskan tuntutan ini dalam tempoh 24 jam bagi dokumen yang telah lengkap, untuk membantu waris menguruskan pengebumian.

“Begitu juga di bawah Skim Bencana Kerja 24 Jam, Perkeso Kelantan telah meluluskan sembilan kes tuntutan melibatkan bayaran cuti sakit kepada pencarum setakat ini," katanya.

Nor Aziemah berkata skim tersebut melindungi pekerja walaupun kemalangan berlaku di luar waktu bekerja, termasuk ketika menjalankan urusan peribadi.

“Antara kes yang diluluskan termasuk kemalangan semasa menyertai konvoi motosikal dan ketika menghantar anak ke kelas tuisyen. Sehingga kini RM1,300 bayaran cuti sakit telah disalurkan kepada sembilan penerima yang layak di bawah skim berkenaan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan