GEORGE TOWN, 29 Jun (Bernama) -- Syarikat keselamatan siber dan privasi digital global, Kaspersky dan Digital Penang memeterai kerjasama strategik bagi memperkukuh kepercayaan digital dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Pulau Pinang, sekali gus menyokong usaha kerajaan untuk membina ekonomi digital yang dipercayai serta berdaya tahan.
Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua organisasi itu berkata kebanyakan PMKS berdepan cabaran dalam mengimbangi pertumbuhan perniagaan dengan ketersediaan keselamatan siber.
Mereka berkata, menerusi inisiatif itu PMKS akan mempunyai akses kepada sumber dan penyelesaian keselamatan siber yang direka untuk membantu melindungi operasi, data, aset digital mereka daripada ancaman siber yang sentiasa berubah.
“Kerjasama ini dilaksanakan ketika Pulau Pinang memulakan fasa seterusnya dalam perjalanan transformasi digitalnya di bawah Pelan Induk Ekonomi Digital Pulau Pinang 2025-2030, yang menyasarkan peningkatan sumbangan ekonomi digital kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negeri dari RM116 bilion pada 2023 kepada RM156 bilion menjelang 2030.
“Memandangkan lebih banyak perniagaan mengintegrasikan teknologi digital ke dalam operasi mereka, ekosistem digital yang dipercayai akan menjadi pendorong utama daya saing dan pertumbuhan jangka panjang,” kata kenyataan itu.
Pada 2025 sahaja, lebih 3,300 PMKS telah menerima manfaat daripada usaha pendigitalan Digital Penang, dan apabila perniagaan semakin bergantung kepada teknologi digital untuk menyokong operasi harian, keselamatan siber muncul sebagai pertimbangan penting bagi organisasi dari pelbagai saiz.
Menurut Kaspersky Security Network (KSN), lebih 3.3 juta serangan berasaskan web yang menyasarkan perniagaan di Malaysia telah dikesan pada 2025, meletakkan Malaysia sebagai pasaran kedua paling disasarkan di Asia Tenggara.
Ancaman itu termasuk laman web yang diceroboh, muat turun berniat jahat dan serangan dalam talian lain yang boleh mendedahkan maklumat sensitif, mengganggu operasi atau menyediakan akses tanpa kebenaran kepada sistem perniaaan.
Sementara itu, Meta Splendors Sdn Bhd, iaitu penyedia penyelesaian teknologi yang mempunyai kepakaran dalam keselamatan siber dan tranformasi digital, akan memainkan peranan penting dalam memperluas akses kepada penyelesaian yang dipercayai, sumber praktikal dan kepakaran tempatan bagi PMKS Pulau Pinang dalam usaha untuk terus memperkukuhkan keupayaan digital mereka.
-- BERNAMA
