POLITIK

PRN JOHOR: TIGA CALON PH BERTEMBUNG CALON BN, SENYUM BUKTI KEMATANGAN KEMPEN

29/06/2026 07:42 PM

PONTIAN, 29 Jun (Bernama) -- Suasana di Pasar Malam Taman Megah di sini bertukar menjadi tumpuan apabila empat calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor daripada dua gabungan politik “bertembung”, ketika masing-masing turun padang menyantuni pengunjung.

Tiga calon Pakatan Harapan (PH) itu ialah calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Sebatang Haniff @ Ghazali Hosman, Abd Razak Ismail (DUN Benut) dan Cheah Chee Hong (DUN Kukup) yang berkempen bersama terserempak dengan calon Barisan Nasional (BN) DUN Pulai Sebatang Hasrunizah Hassan, yang turut berkempen di lokasi sama.

Situasi yang pada mulanya kelihatan sedikit kekok apabila dua jentera kempen membawa bendera “merah” dan “biru” bertembung di persimpangan, bertukar menjadi suasana mesra apabila calon saling bertegur sapa.

Suasana itu turut mengundang perhatian pengunjung pasar malam yang berhenti seketika melihat empat calon daripada dua gabungan politik bertemu dalam satu lokasi, sebelum masing-masing kembali menyantuni peniaga serta pengunjung.

Pertemuan itu sekali gus memperlihatkan persaingan PRN Johor yang semakin rancak, namun masih berlangsung dalam suasana matang, berhemah dan saling menghormati.

Ketika ditemui media, Haniff berkata pertemuan dengan calon lawan itu adalah sebahagian daripada proses demokrasi yang sihat.

“Kita berkempen secara damai. Tadi sempat bertemu dengan calon lawan (Hasrunizah), itu semua kawan-kawan. Di Pontian, kempen (berjalan) damai dan tiada kacau bilau,” katanya.

Calon PH bagi DUN Kukup, Cheah pula berkata beliau berbesar hati dapat berkempen bersama rakan-rakan daripada gabungan sama, sambil menyeru pengundi di kawasan sama ada di Pulai Sebatang, Benut dan Kukup terus memberi sokongan kepada PH.

Sementara itu, Hasrunizah menyifatkan pertembungan antara calon daripada parti berbeza ketika berkempen sebagai perkara biasa, malah mencerminkan kematangan demokrasi selagi ia berlangsung dalam suasana aman dan harmoni.

Beliau berkata tempoh berkempen kini semakin hangat namun keadaan di Johor kekal terkawal tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

“Suasana berkempen di Johor ini, bertembung ketika berkempen itu biasa. Tiga hari pertama semakin hangat, tetapi dalam keadaan yang tenang dan penuh keharmonian,” katanya.

Hasrunizah berkata pertembungan dengan calon lawan langsung tidak menimbulkan sebarang ketegangan.

“(Pertembungan) tidak menjadi masalah kepada kami, malahan menambahkan lagi semangat untuk kita terus berkempen dengan lebih kuat lagi demi Barisan Nasional dan Maju Johor,” katanya.

PRN Johor akan berlangsung 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/. 

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan