IPOH, 29 Jun (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) memperuntukkan RM470,000 bagi menaja 25 belia asnaf mengikuti Kursus Kelasi Kapal (Dek dan Enjin) sebagai usaha memperkasakan agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
MAIPk memaklumkan dengan kos RM18,800 bagi setiap peserta, pelaburan berkenaan mencerminkan iltizam agensi itu untuk melahirkan modal insan berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri.
Langkah itu juga sekali gus membuka laluan kepada kehidupan belia asnaf terbabit yang lebih mampan dan sejahtera.
"Sepanjang tiga bulan, para peserta akan mengikuti latihan profesional di Ranaco Education Traning Institut, Chukai, Terengganu. Program ini merangkumi latihan teori dan amali, pensijilan profesional serta lesen pelaut, yang merupakan antara syarat utama untuk menceburi industri perkapalan.
"TVET bukan sekadar platform pembangunan kemahiran, malah menjadi pemangkin kepada transformasi sosioekonomi golongan asnaf," menurut MAIPk menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Sejurus menamatkan latihan, peserta akan terus ditempatkan bekerja dalam industri perkapalan, sekali gus memperoleh peluang membina kerjaya profesional, meningkatkan kompetensi serta menikmati prospek pendapatan yang lebih baik.
Majlis pelepasan peserta bagi mengikuti latihan terbabit dilakukan Pengurus Besar Bahagian Pemerkasaan Asnaf MAIPk Amirudin Osman di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini.
-- BERNAMA
