AM

MYCREATIVE PERKUKUH INDUSTRI KREATIF, PACU AGENDA EKONOMI JINGGA MALAYSIA

29/06/2026 09:18 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- MyCreative Ventures Sdn Bhd (MyCreative) memperkukuh peranannya dalam membangunkan industri kreatif negara dengan memberi tumpuan kepada pengkomersialan karya, pembangunan harta intelek (IP) dan peluasan akses pasaran bagi membantu lebih ramai penggiat membina perniagaan yang mampan.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCreative Zainol Haqim Zainol Rashid berkata pendekatan itu seiring dengan aspirasi Kementerian Komunikasi serta agenda pembangunan Ekonomi Jingga Malaysia yang memberi penekanan kepada pertumbuhan industri kreatif sebagai antara pemacu ekonomi negara.

Beliau berkata penggiat kreatif tempatan mempunyai bakat dan keupayaan menghasilkan karya berkualiti namun masih berdepan cabaran untuk mengembangkan karya sebagai produk dan perniagaan yang mampu bersaing serta menjana pendapatan secara berterusan.

“Cabaran utama bukanlah kekurangan bakat atau idea, tetapi bagaimana untuk menukar kreativiti kepada sebuah perniagaan yang mampan dan mempunyai nilai komersial yang tinggi.

“Di sinilah peranan MyCreative Ventures perlu diperkukuhkan. Kami mahu menjadi lebih daripada sekadar penyedia program atau pembiayaan. Kami mahu menjadi pemangkin pertumbuhan perniagaan kreatif yang membantu penggiat industri bergerak daripada menghasilkan karya kepada membina perusahaan yang mampan dan bernilai komersial tinggi,” katanya dalam temu bual bersama Bernama.

Zainol Haqim berkata MyCreative akan memperluaskan jaringan kerjasama dengan pemain industri, syarikat korporat, institusi kewangan, pelabur dan rakan strategik antarabangsa bagi mewujudkan lebih banyak peluang pertumbuhan kepada perusahaan kreatif tempatan.

Katanya, kejayaan sesebuah inisiatif tidak lagi akan diukur berdasarkan jumlah dana yang disalurkan atau bilangan penerima semata-mata, sebaliknya melalui impak jangka panjang yang mampu diwujudkan.

“Ukuran kejayaan ialah sejauh mana perniagaan kreatif berkembang, lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan, pelaburan berjaya ditarik, harta intelek dibangunkan dan perniagaan kekal mampan selepas menerima sokongan,” katanya.

Mengulas mengenai platform RIUH, beliau berkata MyCreative akan terus memperkasa inisiatif itu sebagai platform yang bukan sahaja mempromosikan produk dan bakat kreatif tempatan, malah membuka akses pasaran serta menghubungkan penggiat industri dengan masyarakat dan rakan strategik antarabangsa.

Beliau berkata usaha itu termasuklah meneroka kerjasama dengan festival kreatif dan platform budaya di bandar utama ASEAN seperti Jakarta, Bangkok, Singapura dan Ho Chi Minh sebelum diperluaskan ke pasaran global.

“Sebagai contoh, RIUH Raya Baik-Baik di TRX yang dianjurkan sempena Aidilfitri tahun ini menyaksikan kolaborasi korporat yang hebat di antara RIUH, TRX dan juga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjaya menarik kehadiran pengunjung yang tinggi, malah mencatat jualan terkumpul melebihi RM2 juta,” katanya. 

Katanya, Karnival RIUH Pi HAWANA yang berlangsung di Pulau Pinang baru-baru ini bukan sahaja menjadi platform promosi kepada usahawan dan penggiat kreatif tempatan, malah turut dimanfaatkan MyCreative untuk mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri bagi memahami cabaran serta keperluan sebenar mereka.

Zainol Haqim berkata MyCreative akan membantu industri kreatif memanfaatkan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), platform digital dan ekonomi pencipta atau creator economy bagi meningkatkan produktiviti, inovasi serta memperluas akses ke pasaran global.

“AI perlu dilihat sebagai pemangkin yang mampu memperkasakan penggiat kreatif, bukannya menggantikan kreativiti manusia, dengan teknologi itu berpotensi mempercepat proses pembangunan idea, penghasilan kandungan dan analisis pasaran.

“Matlamat kami adalah untuk memastikan setiap program yang diperkenalkan bukan sahaja relevan untuk hari ini, tetapi juga mampu mempersiapkan industri kreatif Malaysia untuk bersaing dan berkembang pada masa hadapan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan