EKONOMI

MITI, MIDA LULUS 5,899 PROJEK PERKILANGAN SEPANJANG 2020-2025, SEDIA LEBIH 502,000 PEKERJAAN

29/06/2026 10:05 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) meluluskan 5,899 projek pelaburan sektor perkilangan bernilai RM774.4 bilion, yang berpotensi menjana 502,493 peluang pekerjaan baharu bagi tempoh 2020 hingga 2025.

Menurut MITI,  daripada jumlah itu, sebanyak 5,087 projek (86.2 peratus) dengan pelaburan bernilai RM587.4 bilion telah direalisasikan.

“Ia juga mewujudkan sebanyak 416,914 peluang pekerjaan, dengan hampir 40 peratus daripadanya dalam kategori pengurusan, profesional, teknikal, penyeliaan dan tenaga mahir (MTS),” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Dewan Rakyat hari ini.

Kementerian itu menjawab soalan daripada Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) mengenai nisbah antara pelaburan yang diluluskan dengan pelaburan yang direalisasikan bagi tempoh 2020 hingga 2025, sektor yang mencatatkan jurang terbesar dan langkah kerajaan untuk menterjemah nilai pelaburan kepada penciptaan pekerjaan berkualiti tinggi kepada rakyat.

Mengenai sektor yang menunjukkan jurang terbesar dari aspek pelaburan yang diluluskan berbanding projek yang direalisasikan, MITI menjelaskan ia lebih ketara bagi projek berskala besar dan berintensif modal yang memerlukan tempoh pelaksanaan lebih panjang serta melibatkan teknologi lebih kompleks.

Katanya, jurang yang wujud itu menunjukkan peringkat pelaksanaan yang berfasa, berdasarkan jadual pembangunan projek masing-masing.

Selain itu, MITI berkata pihaknya dan MIDA terus melaksanakan pelbagai langkah strategik bagi memastikan pelaburan yang masuk diterjemahkan kepada penciptaan pekerjaan berkualiti tinggi untuk rakyat.

Menurut kementerian itu, ia termasuk menarik pelaburan bernilai tambah tinggi dalam sektor seperti semikonduktor, ekonomi digital, teknologi hijau dan aeroangkasa, selain memperkukuh fasilitasi pelaburan, mempercepat pelaksanaan projek serta memperkasa pembangunan modal insan.

"Kerajaan turut menggalakkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), automasi serta inovasi bagi mewujudkan lebih banyak pekerjaan berpendapatan tinggi dan meningkatkan produktiviti,” katanya.

Pada masa sama, katanya, bagi memastikan manfaat pelaburan dinikmati rakyat tempatan, syarat tertentu turut ditetapkan bagi kelulusan lesen pengilang dan projek pelaburan asing berpotensi tinggi, termasuk keperluan pengambilan pekerja tempatan, program latihan industri serta kerjasama dengan universiti dan institusi penyelidikan tempatan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan