KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sebarang pengumuman projek atau dasar baharu pada mana-mana kempen pilihan raya adalah tidak dibenarkan.
Beliau berkata ia selaras dengan peraturan di bawah Seksyen 24B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).
“Keputusan kita tetap, iaitu sebaik penamaan calon diumumkan, kempen boleh diteruskan, tapi tidak boleh ada penggunaan ataupun pengumuman jaminan projek baharu ataupun dasar baharu bagi negeri tersebut.
“Tidak boleh menggunakan jentera untuk mengumumkan projek baharu masa kempen sama ada di peringkat bandar raya atau Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) yang ingin tahu sama ada larangan pengumuman peruntukan atau projek kerajaan selepas penamaan calon masih terpakai serta mekanisme penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata pengumuman projek sedia ada atau yang telah diluluskan dalam Belanjawan lepas, tidak menjadi kesalahan dari segi peraturan pilihan raya.
Menjawab soalan tambahan Shahidan berhubung pengumuman peruntukan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming di Johor baru-baru ini, Anwar menjelaskan projek tersebut telah diluluskan sebelum ini dan hanya diulangi oleh kementerian berkenaan.
Berhubung pengumuman penurunan harga diesel bersubsidi untuk rakyat Malaysia kepada RM2.10 seliter, beliau berkata ia merupakan sebahagian daripada pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api yang telah dirancang melibatkan RON95 diikuti diesel.
“Jadi itu memang diumumkan bahawa penyasaran subsidi mula dengan RON95, diikuti dengan diesel. Itu bagi saya tidak ada percanggahan yang diumumkan untuk seluruh negara,” katanya.
Ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai penggunaan aset dan kemudahan kerajaan, Perdana Menteri berkata garis panduan penggunaan yang diputuskan sebelum ini masih terpakai ketika ini.
-- BERNAMA
