MELAKA, 30 Jun (Bernama) -- Kadar kepuasan hati rakyat terhadap penyampaian perkhidmatan awam negeri pada 2025 mencapai 91.94 peratus, kata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Beliau berkata antara faktor menyumbang pada peningkatan peratusan itu ialah pelaksanaan program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang menyaksikan penjawat awam pelbagai agensi turun padang ke setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mendengar dan menyelesaikan aduan rakyat.
"Jadi, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam yang telah memberikan sokongan terhadap dasar dan pelaksanaan yang dibuat kerajaan negeri tahun lepas," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Apresiasi Perkhidmatan Awam Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka 2026 di sini hari ini.
Majlis bertemakan Melaka Sayang Rakyat (MESRA) : Teras Bakti, Pemacu Pertiwi itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azhar Arshad.
Ab Rauf berkata pencapaian itu memberi keyakinan bahawa kerajaan negeri berada pada landasan yang tepat, malah sepanjang separuh pertama tahun ini, Melaka terus melakar lebih 10 kejayaan dan pengiktirafan termasuk di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata berbekalkan momentum itu, kerajaan negeri kekal agresif menyasarkan lebih 20 pencapaian menjelang hujung tahun ini.
"Suka saya tegaskan, setiap pengiktirafan bukan ruang untuk kita berasa selesa sebaliknya membawa satu mesej jelas bahawa harapan rakyat yang semakin meningkat.
"Semakin tinggi kepercayaan rakyat, semakin besar amanah yang perlu kita galas dan oleh itu, saya menyeru kepada semua penjawat awam agar terus memperkukuh aspek penyampaian," katanya.
Sementara itu, Ab Rauf berkata pemilihan tema MESRA : Teras Bakti, Pemacu Pertiwi mencerminkan tekad Melaka untuk memastikan setiap penjawat awam terus menjadi wajah kepada konsep MESRA yang menjadi nadi pentadbiran kerajaan negeri dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
"Seiring aspirasi MESRA yang menjadi teras pentadbiran kerajaan negeri, kita akan terus melahirkan sebuah perkhidmatan awam yang diyakini, disegani dan menjadi kebanggaan rakyat," katanya.
Terdahulu, pada majlis itu, sebanyak 379 penjawat awam negeri menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan 39 orang menerima Anugerah Khas Perkhidmatan (AKP) bagi penilaian 2025.
-- BERNAMA
