AM

Fauzi dan isteri bangga 10 anak siswazah lepasan UIAM

13/11/2018 04:30 PM

KUALA LUMPUR,  13 Nov (Bernama) -- Bukan seorang atau dua tapi 10 anak serta enam menantu merupakan siswazah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). 

Bagi pasangan Fauzi Abdullah, 63, dan Wan Jamaliah Megat Hashim, 61, tiada apa yang lebih mengembirakan mereka apabila melihat anak bongsu mereka,  Abdullah, 26, turut mengikut jejak sembilan abang dan kakaknya menamatkan pengajian di institusi pengajian itu hari ini.  

"Ini adalah kali ke-14 saya dan isteri masuk dewan konvokesyen UIAM untuk lihat 10 zuriat saya terima ijazah sejak kali pertama pada 2002. 

"Walaupun tidak sangka, tapi sejak dari awal sudah menyusun 'keperluan' yang satu ini iaitu membina mereka dengan asas yang betul iaitu agama," katanya ketika ditemui Bernama pada sidang ke-tujuh majlis konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini hari ini.  

Fauzi, yang merupakan pesara Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd, berkata sejak awal lagi anak-anaknya bersekolah aliran agama dan beliau berfikiran kesinambungan terbaik untuk mereka melanjutkan pelajaran tinggi adalah di UIAM. 

"Saya yakin UIAM adalah paling komprehensif di mana ia merangkumi semua aspek terutama agama dan ini tidak akan mereka dapat jika belajar di luar negara," katanya, yang kelihatan sangat bangga dengan kejayaan anak-anaknya. 

Lebih menarik, sempena konvokesyen anak bongsunya itu, seorang daripada kakak Abdullah, Aishah berjaya mengumpulkan semua adik-beradiknya kelmarin (11 Nov) dan masing-masing mengenakan jubah  UIAM, yang dipinjam daripada rakan graduan Abdullah, bagi memahatkan kenangan pernah belajar di universiti tersohor itu. 

Masing-masing, yang kini menetap di Kuala Lumpur, Selangor, Kota Baharu dan Negeri Sembilan merupakan graduan dalam bidang perundangan, perubatan, kejuruteraan, teknologi maklumat dan matematik, mengambil kesempatan berkumpul di ibu kota bersama ibu bapa untuk meraikan konvokesyen Abdullah.

Sementara itu, Abdullah, yang menerima Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan, berkata walaupun mempunyai keinginan menyambung pelajaran di tempat lain termasuk luar negara, nasihat dan keyakinan yang diberikan ayahnya membuatkan beliau nekad mengikut jejak adik-beradiknya yang lain.

"Cabaran itu tetap ada namun disebabkan ayah menerapkan dari awal yang kami adik-beradik adalah komponen yang menyokong antara satu sama lain dan UIAM adalah tempat terbaik, saya ikut nasihat ayah dan alhamdulilah berjaya, " katanya.  

Lebih manis, kejayaannya hari ini turut dikongsi bersama pasangannya, Nurul Afiqah Zulkifli, 24, yang baru dinikahinya 18 hari lepas.

"Perancangan Allah adalah terbaik dan hari ini,  isteri saya turut menerima ijazah dalam bidang yang sama hari ini. 

"Kami kini sedang tunggu panggilan untuk housemanship di mana-mana hospital di Kuantan dan kami harap dapat berdikari dan sabar dalam menjalani kehidupan selepas ini yang sudah tentunya mempunyai pelbagai cabaran," katanya.  

Seramai 750 graduan bidang undang undang perubatan dan sains menerima ijazah yang disampaikan oleh Duta Turki ke Malaysia Dr Merve Safa Kavakci, merangkap Ahli Lembaga Gabenor UIAM, pada sidang berkenaan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan