AM

Kerajaan kaji alternatif lain perluas rangkaian jalur lebar - Gobind

28/11/2018 02:10 PM

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Kerajaan sedang mengkaji beberapa alternatif untuk membaiki dan memperluas rangkaian jalur lebar ke seluruh negara bagi membolehkan rakyat bersedia menghadapi Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0), kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Beliau  berkata pihaknya sedang meneliti cadangan beberapa pihak termasuk penggunaan satelit.

“Dahulu kita ada polisi National Fiberisation Plan yang merupakan pelan yang memberikan  tumpuan kepada fiber. Bagaimanapun, kalau nak ‘fiberised’ sesuatu tempat, ia akan memakan masa dan kos yang tinggi dan kita lihat memang susah untuk wujudkan satu rangkaian dalam masa terdekat, khususnya di kawasan luar bandar.

“Kerajaan sedang lihat alternatif lain seperti satelit dan kita terima cadangan beberapa pihak yang kita sedang kaji. Kita juga telah nyatakan hasrat untuk menukar pendekatan daripada ‘fiberisation plan’ kepada ‘Fiberisation dan Connectivity Plan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang ingin tahu langkah yang diambil kerajaan untuk memastikan rakyat menerima khidmat jalur lebar yang lebih baik.

Menjawab soalan Khoo yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang memberikan lesen  kepada syarikat lain bagi memecahkan monopoli Telekom Malaysia (TM) dalam industri  telekomunikasi, Gobind berkata: "Mungkin wujud keperluan untuk kita melihat cara lain bagi besarkan ruang pasaran ini kepada pihak lain.

“Sebenarnya ada rancangan pihak kerajaan, tetapi saya tidak ingin umumkan dalam dewan ini kerana saya rasa elok kalau syarikat itu yang umumkan sendiri berkenaan perkara tersebut,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan