AM

BN tawan semula DUN Semenyih

02/03/2019 09:54 PM

KAJANG, 2 Mac (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) menawan semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih selepas calonnya, Zakaria Hanafi memenangi persaingan empat penjuru pada pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu dengan majoriti 1,914 undi.

Zakaria, 58, meraih 19,780 undi untuk menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Muhammad Aiman Zainali, 30, yang memperoleh 17,866 undi; Nik Aziz Afiq Abdul, 25, daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) (847 undi) dan calon bebas yang juga seorang aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng, 56, (725 undi).

Keputusan rasmi itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Mohd Sayuthi Bakar kira-kira 9.20 malam di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang, Saujana Impian di sini.

Dengan kemenangan itu, BN menambah satu lagi kerusi di DUN Selangor kepada lima selepas menang empat kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei tahun lalu, manakala PH menguasai 50 kerusi dan satu kerusi milik PAS.

Kerusi DUN Semenyih kosong susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada PH pada 11 Jan lepas.

DUN Semenyih mempunyai 54,503 pemilih berdaftar merangkumi 53,520 pengundi biasa, 951 pengundi awal dan 32 pengundi tidak hadir berada di luar negara.

Peratusan keluar mengundi sehingga 5.30 petang selepas 24 pusat mengundi ditutup ialah sebanyak 73.24 peratus, berbanding 87.90 peratus pada PRU14. 

Pengundian awal pada Selasa lalu menyaksikan peratusan pergi mengundi ialah 78 peratus. 

PRK DUN Semenyih adalah PRK keenam diadakan selepas PRU14 dengan PH menang di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos 2018, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept 2018) dan Parlimen Port Dickson (13 Okt 2018), manakala BN menang di Parlimen Cameron Highlands (26 Jan lalu).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan