FOKUS BERNAMA

RESIPI NENEK-MOYANG DILUPA JANGAN

25/03/2019 12:25 PM

Oleh Siti Fauziah Hasan

Pertama daripada artikel dua bahagian mengenai usaha Jabatan Warisan Negara (JWN) dalam memelihara makanan tradisional agar tidak pupus ditelan masa.

 

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Pastinya ramai yang pernah makan atau sekurang-kurangnya tahu bahawa ondeh-ondeh, sata, putu piring, lemang, pajeri, gulai tempoyak, otak-otak, pekasam dan nasi kerabu adalah sebahagian daripada makanan tradisional negara ini.

Kita bernasib baik kerana pelbagai makanan itu masih boleh dinikmati sama ada di majlis-majlis keraian, musim perayaan, malah ada yang mengusahakan secara komersial.

Hakikatnya terdapat ratusan jenis makanan tradisional di negara ini. Antaranya jarang ditemui seperti opok-opok, buah tanjung, emas sejemput, lawa terung, umai, masak lemak mumbang, emping, sambal tahun, gulai lemak umbut dan banyak lagi. Masing-masing dari kaum, negeri dan latar belakang berbeza.

Zaman berubah, begitu juga cita rasa manusia. Jadi, tidak hairanlah jika generasi muda kini tidak mengenali makanan warisan yang pernah menjadi kegemaran nenek moyang, mungkin juga ibu bapa kita suatu ketika dahulu.

Ekoran cita rasa golongan muda yang lebih menjurus kepada makanan moden ditambah pula semakin kurang individu yang boleh menyediakan hidangan tradisional, banyak makanan tradisional kian dilupai.  

Justeru, Jabatan Warisan Negara (JWN) sehingga kini mengisytiharkan 213 jenis makanan tradisional di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645), agar tidak pupus ditelan masa.

 

MENJEJAKI MAKANAN WARISAN

Timbalan Ketua Pengarah JWN, Mohamad Muda Bahadin  berkata ketupat sotong, nasi minyak dan nasi dagang adalah antara makanan yang dimasukkan dalam senarai berkenaan.

“Akta ini menguatkuasakan peruntukan untuk pemuliharaan dan pemeliharaan Warisan Kebangsaan, warisan semulajadi, warisan ketara dan tidak ketara, warisan kebudayaan di bawah air dan harta karun serta perkara yang berkaitan,” katanya kepada Bernama.

JWN mentakrifkan warisan sebagai sesuatu yang diwarisi daripada generasi terdahulu. Ia dianggap sebagai khazanah negara, yang pernah atau sedang dimiliki oleh seseorang atau sesuatu kelompok masyarakat atau manusia sejagat yang menjadi tanggungjawab bersama untuk dilindungi dan dikekalkan.

Makanan warisan boleh dianggap sebahagian daripada budaya bangsa yang perlu dipertahankan agar sentiasa relevan dan diingati oleh masyarakat pelbagai kaum di negara ini, terutamanya generasi muda.

Mohamad Muda berkata, JWN melakukan pelbagai usaha termasuk menjelajah ke pelosok tanah air bagi menjejaki suri rumah, pengusaha komersial dan generasi tua yang masih menghasilkan makanan warisan.

 

BUNGKUS DAN KUKUS

“Para pegawai dan penyelidik JWN membuat kajian dan inventori berhubung makanan tradisional yang diperturunkan sejak zaman nenek moyang kita dan kini menjadi identiti sesebuah masyarakat.

“Makanan warisan ini direkod dari semua sudut seperti gambar, video, nama makanan, cara pembuatan, penyimpanan dan perayaan atau sambutan yang berkaitan penyediaan makanan tersebut,” jelas Mohamad Muda.

Makanan tradisional, tambah beliau, diperkenalkan kepada umum dan pelancong melalui demonstrasi pembuatan, bengkel penyediaan makanan warisan, acara rasmi kerajaan dan jualan melalui program jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan lain.

Beliau memberi contoh, Hari Kraf Kebangsaan 2019 di mana JWN mengetengahkan “Masakan Warisan Malaysia Bungkus dan Kukus”, termasuk demonstrasi beberapa masakan makanan berkenaan.

“Antaranya adalah ketupat dakap iaitu pulut yang dibungkus dengan daun pisang dan dikukus, ketupat palas - pulut yang dibungkus dengan daun palas dan dikukus, pulut kuning yang dikukus, dan pelbagai masakan seperti lopes, buah melaka dan sebagainya yang mendapat sambutan hangat para pengunjung termasuk dari luar negara,” katanya.

 

PELBAGAI ETNIK KONGSI SELERA

Mohamad Muda turut berkata setiap kumpulan etnik memiliki warisan makanan tersendiri yang beraneka rupa, warna dan rasa. Lebih menarik, masing-masing mempunyai sejarah masakan tersendiri yang boleh dikongsi bersama. 

“Sebagai contoh, nasi lemak asalnya merupakan hidangan sarapan yang terkenal dalam kalangan etnik Melayu tetapi kini menjadi pilihan semua etnik, bukan sahaja untuk sarapan malah tengah hari dan malam,” katanya.

Tambah beliau, makanan daripada etnik lain seperti dim sum, mi, kuetiau dan sebagainya yang asalnya merupakan makanan kegemaran etnik Cina, kini menjadi kegemaran masyarakat Melayu, India dan etnik lain.

Malah, makanan etnik dari Sabah dan Sarawak seperti umai, linut dan manok pansuh juga semakin diterima oleh masyarakat lain di seluruh negara yang secara tidak langsung menyumbang kepada perpaduan sosial.

(Umai - isi ikan mentah yang dihiris halus dicampur beberapa bahan lain serta perahan limau; linut - makanan dibuat daripada tepung rumbia; manok pansuh - ayam yang dimasak dalam buluh).

Mohamad Muda berkata majlis perayaan besar di negara ini seperti Rumah Terbuka Malaysia yang disambut bersama turut menghidangkan makanan warisan pelbagai kaum.

 

IKTIRAF MAKANAN WARISAN

 Sementara itu, Pengarah Bahagian Warisan Dunia JWN Mohd Syahrin Abdullah memberitahu bahawa JWN dalam perancangan dan penyelidikan untuk mendapatkan pengiktirafan makanan warisan daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Tambahnya, makanan merupakan satu daripada elemen warisan tidak ketara (WTK) dan boleh dicalonkan untuk pengiktirafan di bawah UNESCO yang dikenali sebagai Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity di bawah Convention for the Safeguarding of the Intangible Cultural Heritage 2003. 

Beberapa kriteria perlu dipatuhi sebelum makanan warisan dapat diiktiraf UNESCO iaitu memastikan visibiliti dan kesedaran mengenai signifikan warisan berkenaan serta boleh mengalakkan sesi dialog yang mencerminkan kepelbagaian kebudayaan di peringkat dunia dan kreativiti manusia.

Pencalonan itu dilaksanakan oleh pihak JWN yang merupakan State Party bagi Malaysia untuk konvensyen berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohd Syahrin berkata bagi mendapatkan kelulusan untuk ke UNESCO, borang pencalonan yang dikemukakan akan dinilai oleh Badan Penasihat yang dipilih oleh sekretariat UNESCO. 

Keputusan akhir akan diumumkan semasa sesi jawatankuasa antara kerajaan bagi melindungi Warisan Budaya Tidak Ketara (Intergovernmental Committee for the Safeguarding of the Intangible Cultural Heritage (IGH - ICH), dianggotai 24 ahli jawatankuasa dari 24 buah negara anggota yang biasanya bersidang pada bulan November atau Disember setiap tahun.

“Sekiranya sesebuah elemen WTK berjaya diiktiraf sebagai Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity, maka akan diberikan sijil pengiktirafan yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah UNESCO,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata JWN memang berhasrat mengemukakan makanan warisan lain seperti Malaysian Breakfast (Nasi Lemak, Roti Canai dan Teh Tarik) serta Yee Sang di bawah “Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity” untuk pencalonan akan datang.

 

________________________________________________________________

 

RUANG SISI

 

SENARAI 208 MAKANAN WARISAN KEBANGSAAN 2005 (AKTA 645)

1 Air Janda Pulang

2 Gula Tarik/Sema

3 Kelamai/Gelamai Tepung Gandum

4 Ketupat Sotong

5 Kuih Bongkong/Jongkong

6 Kuih Tahi Itik

7 Kuih Tepung Torak

8 Sambal Hitam Ikan Bilis

9 Kuih Badak Kubang

10 Aiskrim Malaysia

11 Pulut Mangga

12 Sambal Tahun

13 Bingka/Bengkang Sawit

14 Kuih Cek Mek Molek

15 Cucur Jawa/Cucur Topi/Kuih Penyaram

16 Kuih Angku/Kuih Peria

17 Opor Daging

18 Nasi Minyak

19 Pulut Durian

20 Kelupis

21 Nasi Dalam Buluh

22 Sup Tulang

23 Ubi Gadong Parut Masak Dalam Buluh

24 Ikan Rebus Kering

25 Ikan Cencaru Sumbat

26 Sayur Midin Goreng

27 Masak Lemak Mumbang

28 Masak Lemak Kulat Sisir

29 Bubur Lambuk

30 Bubur Nasi/Nasi Air

31 Bubur Anak Lebah

32 Ais Kepal

33 Emping

34 Kek Lapis Sarawak

35 Jala Emas

36 Kuih Ros

37 Kuih Kole Kacang

38 Kuih Bangkit

39 Kasui

40 Emas Sejemput

41 Buah Tanjung

42 Tepung Pelita

43 Lompat Tikam

44 Kuih Siput

45 Pau

46 Kuih Getas

47 Kuih Kasidah

48 Inang-Inang

49 Tebaloi

50 Kerepek

51 Celorot

52 Kuih Ketayap

53 Solok Lada

54 Solok Ikan

55 Kebebe

56 Air Nira

57 Durian

58 Rempeyek

59 Puding Raja

60 Pengat

61 Ganti Tandan Jagung

62 Apam

63 Apom

64 Kuih Pepena

65 Tau Fu Fa

66 Bubur cha-cha

67 Pulut Tekan dengan Seri Kaya

68 Popia

69 Pie Tee

70 Ambuyat/Pinantung

71 Tompe’/Tinompeh

72 Nonsom Bambangan

73 Tuak

74 Rojak

75 Kuih Rengas

76 Ubi Kayu Rebus dan Sambal Tumis

77 Putu Piring

78 Murtabak

79 Capati

80 Choonpiah

81 Jemput-Jemput

82 Itik Golek

83 Umbut Rebus

84 Sambal Biji Getah

85 Gulai Masam Keladi Kemahang

86 Sambal Tempoyak Daun Kayu

87 Pindang

88 Sotong Sumbat

89 Rendang Campur

90 Kari Kapitan

91 Sup Belut

92 Nasi Kebuli

93 Sambal Rong

94 Sambal Goreng

95 Tauge dan Tauhu Masak Lemak

96 Lawa Terung

97 Lompap Daging dan Hati

98 Ayam Pong Teh

99 Ayam Masak Buah Keluak

100 Jantung Pisang

101 Gerang Asam

102 Budu

103 Ambila

104 Asam Rebus

105 Tempe

106 Keema

107 Tauhu

108 Inche Kabin

109 Kari Devil

110 Nasi Lemak

111 Nasi Ayam

112 Nasi Kunyit

113 Nasi Tumpang

114 Nasi Kerabu

115 Nasi Dagang

116 Nasi Himpit

117 Nasi Goreng

118 Nasi Ulam

119 Ketupat

120 Lemang

121 Pulut Kukus Dalam Periuk Kera

122 Mi Mamak

123 Laksa Asam

124 Mi Kari

125 Char Kuay Teow Pulau Pinang

126 Laksa Johor

127 Bubur Pedas Sarawak

128 Bubur Asyura

129 Bubur Sum-Sum

130 Bubur Kacang Hijau

131 Sagu

132 Kuih Bingka Ubi

133 Rendang

134 Serunding

135 Ayam Percik

136 Manok Pansoh

137 Masak Asam Pedas

138 Gulai Tempoyak Ikan Patin

139 Ikan Bakar

140 Masak Ikan Tanah Liat

141 Gulai Lemak Umbut

142 Gulai Lemak Lada Padi

143 Gulai Asam Rom

144 Kari Kepala Ikan

145 Kurma daging

146 Pajeri

147 Masak ikan dan pisang dalam buluh

148 Yong Tau Foo

149 Daging Dendeng

150 Ayam Panggang

151 Botok-botok ikan

152 Sambal tumis

153 Ketam berlada

154 Teh tarik

155 Cendol

156 Air batu campur (ABC)

157 Air kelapa

158 Air selasih

159 Hinava/Umai

160 Pekasam

161Tempoyak

162 Otak-otak

163 Sambal belacan

164 Cencaluk

165 Sambal gesek ikan bilis

166 Sate atau Satay

167 Yee sang

168 Sata

169 Telur pindang

170 Kerabu mangga muda

171 Acar buah

172 Kuih keria

173 Kuih koci

174 Akok

175 Kuih seri muka

176 Kuih cara

177 Kuih bingka

178 Kuih bakul

179 Kuih bulan

180 Kuih cincin

181 Kuih bakar

182 Kuih sepit

183 Apam balik

184 Pisang goreng

185 Keropok

186 Opok-opok

187 Karipap

188 Buah melaka atau ondeh-ondeh

189 Lempeng

190 Bahulu

191 Dodol

192 Lempuk durian

193 Wajik

194 Seri kaya

195 Halwa

196 Agar-agar sakar

197 Pulut panggang

198 Tapai

199 Masalodeh

200 Putu mayam

201 Muruku

202 Roti jala

203 Roti canai

204 Tosai

205 Penderam

206 Kuih lopis

207 Laddu

208 Ubi kayu

209 Puding Raja

210 La-tiang

211 Halwa Sukun

212 Wajik Sirat

213 Wajik Ubi Kayu

 

Disunting oleh Sarimah Othman

 

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan