AM

Johor guna panel solar untuk bangunan pentadbiran tahun depan

10/06/2019 02:23 PM

Oleh Nor Baizura Basri

ISKANDAR PUTERI, 10 Jun (Bernama) -- Kerajaan negeri sedang mengkaji pemasangan panel solar di bangunan-bangunan pentadbiran kerajaan di sini sebagai sebahagian daripada inisiatif jangka panjangnya untuk mempromosikan tenaga yang boleh diperbaharui (RE) kepada masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan Dan Utiliti Johor,  Jimmy Puah Wee Tse berkata kerajaan negeri sememangnya dijangka menerajui pelaksanaannya.

"Kita kini sedang berbincang dengan beberapa syarikat solar. Kerajaan negeri akan memulakannya dahulu. Kami akan memperkenalkan penggunaan panel solar di beberapa bangunan (pentadbiran).

"Selepas kita memasang panel solar di bangunan-bangunan ini, kita akan mengajak pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk terlibat sama. Tahap ketiga ialah penglibatan sektor swasta.

"Saya ingin memberi inspirasi kepada orang lain untuk melakukannya.  Jika kerajaan boleh buat, saya harap PBT juga boleh buat, (setelah itu) kenapa tidak sektor swasta juga melakukannya?" kata beliau kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.

Beliau menekankan bahawa kunci kepada inisiatif berkenaan bukan untuk mendapat keuntungan wang ringgit tetapi lebih kepada mewujudkan kesedaran sosial, kata Puah yang menambah, tenaga solar mempunyai potensi besar di Johor.

“Ada banyak tempat kamu boleh memasang panel solar seperti di tempat letak kereta, kompleks beli-belah, setesen bas dan sekolah. (Dan) adalah satu pembaziran jika tenaga ini tidak dimanfaatkan.

“Kos bagi panel solar juga telah turun menjadi sangat rendah...inilah masa yang seduai untuk melakukannya dan ia juga menguntungkan untuk berbuat demikian,” kata beliau.

Puah turut gembira bahawa inisiatif kerajaan negeri itu mendapat sokongan Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin.

Beliau berkata perbincangan mengenainya (pemasangan panel solar di pejabat-pejabat pentadbiran kerajaan di Iskandar Puteri) yang telah berjalan sejak beberapa bulan ini, kini sedang mengkaji satu “tempoh yang selesa” dan situasi menang-menang antara kerajaan negeri dan syarikat terpilih.

"Ia melibatkan isu kos, format apa yang hendak diguna dan kita bukan berunding dengan satu syarikat sahaja kerana kita melakukannya secara tender terbuka. Jadi ada beberapa syarikat, malah syarikat-syarikat asing juga berminat  untuk melakukannya.

"Persetujuannya ialah mereka sanggup mengetepikan apa-apa kos tetapi kita perlu menandatangani perjanjian dengan mereka untuk satu tempoh yang lama,” kata Puah.

Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Batu itu juga berkata kerajaan negeri sedang mengkaji satu tempoh yang selesa untuk perjanjian itu, iaitu tidak melebihi 15 tahun.

“Saya harap perjanjian ini dapat dimuktamadkan menjelang hujung tahun ini supaya kita boleh menggunakan panel solar itu tahun depan,” tambah beliau.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan