AM

Guna teknologi moden bantu sektor pertanian berkembang, lahir petani berwawasan

16/07/2019 07:57 PM

JOHOR BAHRU, 16 Julai (Bernama) -- Inovasi serta penggunaan teknologi moden penting dalam sektor pertanian bagi membolehkan industri berkenaan terus dipergiat, sekali gus mampu melahirkan petani berwawasan dan berpendapatan tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri Tosrin Jarvanthi berkata pemikiran lebih kritis, konstruktif dan di luar kotak harus diterapkan untuk menjadi lebih berdaya saing.

Tambahnya, inovasi serta penggunaan teknologi moden juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan pengeluaran dan mengurangkan kos.

"Teknologi moden seperti 'drone'  kini telah diperluas penggunaannya seperti dalam semburan racun dan membaja di kawasan ladang berskala besar seperti ladang kelapa sawit dan di sawah padi berbanding dahulu ia lebih kepada pemetaan tanah-tanah pertanian.

"Jika dulu penggunaan 'drone' sering dikaitkan hanya dengan ketenteraan, pengawasan, pemantauan trafik, cuaca namun kini sektor pertanian tidak ketinggalan dengan teknologi ini," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2018 dan Majlis Jasamu Dikenang & Hari Inovasi Tahun 2019 Jabatan Pertanian Negeri Johor, di sini hari ini.

Dalam mengekalkan Johor sebagai penyumbang nombor satu pengeluaran buah-buahan negara dan kedua dalam pengeluaran sayur-sayuran, pelbagai sudut perlu dilihat.

"Kita sedia maklum Johor adalah satu negeri penyumbang sektor agro makanan negara. Pencapaian ini adalah kesan atau output keberkesanan dalam penyampaian aktiviti pengembangan yang telah dilaksanakan.

"Peningkatan, pemantapan ilmu dan kemahiran dalam bidang pertanian perlu sentiasa dipergiat bagi menjamin kelestrian bidang pertanian dan hubungan serta komunikasi yang efektif dalam menyampaikan segala bentuk perkhidmatan kepada golongan sasar perlu sentiasa ditambah baik," katanya lagi.

Dalam majlis berkenaan, seramai 27 warga Jabatan Pertanian Johor menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018, 15 orang pesara dan bakal pesara menerima cenderahati  manakala Jabatan Pertanian Daerah Kluang memenangi 'Anugerah Daerah Perkhidmatan Pengembangan Inovatif'.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan