LABUAN, 15 Jan -- Selepas satu dekad menggunakan sistem tiket secara manual bagi pengangkutan laut dari Labuan ke tanah besar Sabah dan Sarawak, sistem tanpa tunai (dalam talian) akan diperkenalkan mulai 1 Feb ini.
Sistem secara dalam talian menerusi aplikasi atau sistem kad, ‘LabuanPay’, akan dilaksanakan sepenuhnya ke atas lima feri yang ketika ini mempunyai jadual tetap dua hingga empat perjalanan setiap hari.
LDA Holdings Sdn Bhd (syarikat pelabuaran Yayasan Pembangunan Labuan [YPL]) merupakan syarikat yang menguruskan Terminal Feri Antarabangsa Labuan dan bertanggungjawab memastikan kelancaran operasi pengangkutan laut melalui terminal itu.
Pengerusi YPL Datuk Rozman Isli berkata sistem tanpa tunai itu akan memberi manfaat kepada pelancong dari Labuan ke tanah besar dan sebaliknya, untuk keselesaan kepada mereka.
“Kami optimis sistem itu akan memberi manfaat kepada pelancong yang memilih menggunakan feri sebagai pengangkutan untuk ke tanah besar. Ini akan mengelak daripada masalah kehabisan tiket apabila tiba di kaunter terminal feri,” katanya semasa melancarkan e-dompet LabuanPay dan e-tiket di Terminal Feri Antarabangsa Labuan di sini, hari ini.
Rozman berkata sistem itu sejajar dengan aspirasi bandar pintar Labuan untuk menjadikan pulau bebas cukai itu sebagai pulau tanpa tunai.
“Kami berharap ‘LabuanPay’ akan diterima di sini, kemudian kita boleh menjadikan Labuan sebagai pulau tanpa tunai dalam transaksi harian orang ramai,” katanya.
Pengerusi LDA Holdings Noor Halim Zaini berkata LDA merekodkan seramai 445,535 orang menggunakan terminal itu untuk ke tanah besar Sabah dan Sarawak dan 457,533 dari tanah besar ke Labuan tahun lepas, menjadikan jumlah keseluruhan pengendalian penumpang sebanyak hampir satu juta (902,868).
“Kita akan mulakan dengan Labuan ke Menumbok (Sabah), Lawas dan Limbang di Sarawak pada 1 Feb dan dari destinasi di Sabah dan Sarawak ke Labuan pada Mac,” katanya.
Sistem tanpa tunai yang diperkenalkan oleh Mobility One Sdn Bhd akan bekerjasama dengan LDA Holdings untuk memperluaskan sistem teknologi kewangan (fintech) kepada pengangkutan laut utama Labuan, perkhidmatan feri ‘roll on roll off’ (ro-ro) yang masih menggunakan sistem manual.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial