AM

KKM buat penilaian semula terhadap kes peniaga burger dikompaun RM50,000

27/04/2021 05:16 PM

PUTRAJAYA, 27 April  -- Kementerian Kesihatan (KKM) akan membuat penilaian semula terhadap kes seorang peniaga burger di Kelantan yang dikompaun RM50,000, sama ada diberi pengurangan atau pengecualian, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata KKM amat prihatin serta memandang serius kes berkenaan dan meminta peniaga terbabit tampil mengemukakan permohonan rayuan terhadap kompaun itu secepat mungkin.

"KKM melihat kes ini sebagai kes terkhusus dan perlu ditangani segera.

“Untuk itu, KKM akan membuat penilaian semula bagi mempertimbangkan sama ada akan diberikan pengurangan atau pengecualian sekiranya didapati ada asas yang munasabah," katanya dalam satu kenyataan hari ini berhubung isu kompaun RM50,000 terhadap peniaga burger kerana berniaga melebihi waktu ditetapkan.

Tular di media sosial seorang peniaga burger dikenakan kompaun RM50,000 kerana berniaga di hadapan rumahnya pada kira-kira 11 malam.

Dr Adham berkata tujuan KKM menguatkuasakan undang-undang dan mengenakan kompaun adalah untuk mendidik dan bukannya menghukum semata-mata.

Jelasnya, mereka yang dikompaun sentiasa diberikan peluang untuk mendapat keadilan dan dibenarkan mengemukakan rayuan mengikut mekanisme yang disediakan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan