KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Kerajaan sedang memperhalusi kaedah pelaksanaan sistem kutipan tol secara Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) bagi memberi keselesaan kepada pengguna lebuh raya, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.
Beliau berkata selaras dengan hasrat kerajaan bagi melaksanakan MLFF pada 2025, mod pilihan pembayaran kepada pengguna akan dipelbagaikan dan tidak terhad kepada satu skim penyedia pembayaran sahaja seperti sekarang.
“Ini secara tidak langsung akan membantu pengguna mengatasi isu kekurangan baki sewaktu melalui gantri di plaza tol dan seterusnya melancarkan pergerakan pengguna lebuh raya,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) yang meminta menyatakan sebab sistem Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) masih mengalami masalah sehingga berlaku kesesakan di plaza tol dan perancangan kerajaan bagi mengatasi masalah tersebut.
Mengakui berlaku sedikit kekurangan terutama dari sudut teknikal ketika dalam proses menambah baik dan memantapkan sistem RFID, Abdul Rahman berkata Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) meminta syarikat pengendali lebuh raya untuk membuat pelarasan lebih kerap di lorong tersebut agar kecekapan dapat dipertingkatkan.
Beliau berkata pengendali lebuh raya juga diminta membuat hebahan kesedaran kepada pengguna agar mempunyai baki mencukupi selain menyarankan pengguna agar menyemak baki eWallet sebelum memulakan perjalanan bagi memastikan tiada gangguan ketika melakukan transaksi bayaran tol.
Menurutnya, palang tol bagi lorong RFID juga tidak dapat dibuka setakat ini bagi mengatasi masalah kesesakan kerana ia melibatkan isu perundangan dan hal-hal lain yang berkaitan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial