AM > BERITA

Selangor Cadang Hari Tanpa Beg Plastik Setiap Jumaat-Ahad Tahun Hadapan

25/11/2024 02:21 PM

SHAH ALAM, 25 Nov (Bernama) -- Kerajaan Selangor bercadang untuk menguatkuasakan larangan penggunaan beg plastik pada Jumaat hingga Ahad di mana-mana premis perniagaan di negeri itu pada tahun hadapan.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri Jamaliah Jamaluddin berkata kerajaan negeri sedang meneliti punca kuasa untuk berbuat demikian bagi menguatkuasakan inisiatif berkenaan dalam usaha ke arah bebas penggunaan beg plastik.

“Sebenarnya kita telah mengadakan bengkel untuk memperkuat atau memperketat undang-undang berkaitan di samping tindakan penguatkuasaan bagi perkara itu.

“Ketika ini, penting juga untuk kita mengetahui jenis punca kuasa yang boleh digunakan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri supaya apabila diumumkan inisiatif ini, ia dapat dilaksanakan seiring dengan tindakan penguatkuasaan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor di sini hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan tambahan Mariam Abdul Rashid (PH-Meru) mengenai perancangan kerajaan negeri untuk terus mempergiat kempen sifar plastik dan polisterina di Selangor.

Selangor mula melaksanakan kempen “Hari Tanpa Beg Plastik” pada 2010 dengan sokongan kebanyakan pasar raya besar, pasar mini dan premis perniagaan pada setiap Sabtu.

Pengguna akan dikenakan bayaran 20 sen bagi setiap beg plastik dan wang itu akan disalurkan kepada badan kebajikan atau program kepenggunaan serta pemuliharaan alam sekitar. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan