KUANTAN, 11 April (Bernama) -- Kebakaran hutan berskala besar yang melibatkan tiga lokasi di negeri Pahang sejak akhir Mac semakin pulih, dengan operasi pemadaman kini ditumpukan di kawasan Rompin, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Datuk IR Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.
Beliau berkata operasi memadam kebakaran hutan kawasan Jabatan Pertanian Inderapura yang melibatkan keluasan kira-kira 320 hektar hutan tanah gambut, ditamatkan sepenuhnya pada Selasa setelah lebih 10 hari kerja pemadaman dilakukan.
Sementara kebakaran hutan tanah gambut di Gebeng seluas 110.5 hektar, Wan Mohammad Zaidi berkata juga semakin pulih apabila 99 peratus kebakaran berjaya dipadamkan, dan jangkaan operasi pemadaman di kawasan tersebut akan ditamatkan hari ini sekiranya tiada kebakaran baharu berlaku.
“Manakala di Rompin pula melalui tinjauan udara yang dibuat mendapati masih lagi ada kebakaran, tetapi tidaklah besar seperti sebelum ini dan kita akan menggunakan kaedah bom air dan direct attack di kawasan itu hari ini,” katanya kepada media hari ini.
Wan Mohammad Zaidi berkata hujan di daerah Kuantan dan Rompin sejak Selasa juga turut membantu anggota bomba dan penyelamat, yang telah bertungkus-lumus sejak beberapa minggu lalu memadamkan kebakaran hutan gambut, belukar dan ladang di tiga lokasi berkenaan.
Terdahulu Bernama dan TV3 berkesempatan melakukan tinjauan udara bersama Penolong Pengarah Operasi JBPM Pahang Ismail Abdul Ghani, menaiki helikopter MI17 di kawasan hutan terbakar Inderapura dan Gebeng.
Dua buah helikopter telah dibekalkan Bahagian Udara Ibu Pejabat JBPM susulan lawatan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang menyarankan penggunaan helikopter bagi operasi bom air di kawasan yang tidak mempunyai akses mengawal kebakaran daripada merebak.
Baginda bersama Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan berangkat ke pos kawalan Bomba Inderapura Jaya pada Isnin, untuk meninjau dan mendengar sembah taklimat berhubung kebakaran hutan di negeri ini.
Operasi pemantauan dan pemadaman menggunakan helikopter jenis MI17 yang diketuai Penolong Penguasa Bomba JBPM Amir Fitri Salim, digunakan sejak Rabu untuk memadam kebakaran di Gebeng sementara helikopter jenis Agusta digunakan di Rompin, yang diketuai oleh Khirulnizam Jamaludin.
Wan Mohammad Zaidi berkata walaupun dalam suasana Aidilfitri, JBPM terus komited memantau secara berkala situasi kebakaran yang berlaku, berikutan cuaca panas yang dijangka berpanjangan.
“Tiada istilah cuti ketika perayaan Aidilfitri ini buat JBPM, namun kita mengharapkan kerjasama masyarakat untuk tidak melakukan sesuatu yang berisiko, sehingga mengakibatkan berlakunya kebakaran khususnya ketika negara masih lagi dalam fenomena El Nino, yang mudah terdedah kepada kebakaran hutan.
“Musim tidak menentu sebab sekarang masih lagi Monsun Barat Daya iaitu dalam keadaan El Nino...kita akan alami musim panas panjang lagi.
“Justeru, masyarakat sebaiknya memainkan peranan dan sekiranya melakukan kebakaran untuk berkebun, pastikan ia dalam kawalan dan dipadam dengan betul,” katanya.
Selain itu, beliau turut menasihati orang ramai yang melakukan aktivti memancing atau berburu, agar memadamkan putung rokok atau unggun api dengan betul, bagi memastikan tidak ada bara api kerana bahan kering seperti rumput dan daun mudah terbakar tanpa kawalan.
Wan Mohammad Zaidi berkata sepanjang Jan hingga kini, sebanyak 712 kes kebakaran terbuka direkodkan di Pahang, membabitkan hutan sebanyak 42 kes, sampah (28), kebun/ladang (7) dan paling tinggi ialah belukar/lalang iaitu 635 kes.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial