IPOH, 11 Mei (Bernama) -- Jepun mencipta sejarah apabila merangkul kejuaraan Piala Sultan Azlan Shah ke-30 buat pertama kali dengan menewaskan Pakistan 4-1 menerusi penentuan penalti 'shoot-out’ selepas terikat 2-2 pada aksi final di Stadium Hoki Azlan Shah di sini malam ini.
Jepun, penampilan keenam sejak 1987 dan pertama kali dalam final, melakukan kejutan di sebalik ratusan penyokong Pakistan di stadium apabila membuka jaringan menerusi gol padang Seren Tanaka pada minit ke-12 untuk kedudukan 1-0 pada separuh masa.
Bagaimanapun, Pakistan di label sebagai 'raja’ kebangkitan semula dalam kejohanan ini, terus cekal dengan semangat juang untuk mengubah kedudukan apabila Ajaz Ahmad dan Abdul Rehman menjaringkan gol padang masing-masing pada minit ke-34 dan ke-37.
Bermula tempoh suku akhir dengan pantas, skuad defensif Samurai melancarkan serangan pada aksi sengit itu dengan Kazumasa Matsumoto menyamakan kedudukan menerusi jaringan padang pada pada minit ke-47.
Kedudukan 2-2 kekal menutup permainan dan memaksa perlawanan diheret ke penentuan 'shoot-out’ menentukan juara.
Jepun memulakan pukulan penalti dengan Kosei Kawabe, Ryoma Ooka, Seren Tanaka dan Kazumasa Matsumoto menyudahkan jaringan manakala Rana Waheed Ashra, Arshad Liaqat dan ketua pasukan Ammad Butt gagal untuk Pakistan.
Pakistan merangkul kejuaraan tersebut sebanyak tiga kali iaitu pada edisi 1999, 2000, and 2003.
Mengulas mengenai kejayaan itu, ketua jurulatih Jepun Yoshihiro Anai berkata pasukannya memperoleh pengalaman yang sangat berharga memenangi kejohanan itu yang akan menjadi penting dalam perjalanan untuk mencapai misi pingat emas pada temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di negaranya.
“Saya amat berbangga dengan setiap pemain kerana sikap mereka yang tidak pernah berputus asa untuk kekal berdisiplin sepanjang kejohanan ini,”katanya.
Ketua jurulatih Pakistan Roelant Oltmans berkata anak buahnya menerima apa yang sepatutnya selepas gagal menyudahkan sekurang-kurangnya empat peluang keemasan semasa tempoh permainan.
Dalam pada itu, penyerang Speedy Tigers Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal dinobatkan Penjaring Terbanyak kejohanan dengan lapan gol manakala Takumi Kitagawa dan Takashi Yoshikawa masing-masing diisytiharkan sebagai Penjaga Gol Terbaik.
Pemain Pakkistan Muhammad Sufyan Khan dipiulih sebagai 'Pemain Terbaik’ kejohanan manakala Kanada menerima anugerah 'Fair Play'.
Terdahulu, New Zealand menamatkan saingan di tangga ketiga selepas mengatasi juara bertahan Malaysia 3-2.
Hadiah disampaikan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Presiden Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) Datuk Tayyab Ikram dan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Seri Subahan Kamal.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial