Sembilan Pekerja Ladang Terhidu Racun Serangga Di Kinabatangan

12/01/2025 02:01 AM

KOTA KINABALU, 11 Jan (Bernama) --  Sembilan pekerja di sebuah ladang sawit di Kinabatangan dikejarkan ke hospital selepas disyaki terhidu racun serangga hari ini.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam satu kenyataan berkata semua mangsa dipercayai terhidu racun serangga jenis Carbosulfan UN3077 ketika menjalankan aktiviti membaja pokok sawit di ladang seluas lapan hektar pada pukul 9 pagi.

“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.11 petang. Sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan dan Unit Pengurusan Bahan Berbahaya (Hazmat) digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak 45 kilometer dari balai bomba.

"Semua mangsa telah dihantar ke Hospital Kinabatangan oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pasukan bomba kemudian bertindak menutup kawasan dan membuat persempadanan dengan memasang sawar-sawar bagi memastikan tiada bahaya lain yang wujud dan operasi ditamatkan 6.40 petang.

JPBM Sabah memaklumkan setakat ini lapan mangsa sudah keluar dari Unit Kecemasan hospital berkenaan dan seorang lagi masih dirawat namun dilaporkan stabil.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan