KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa segala tindakan Malaysia tatkala mempengerusikan ASEAN pada tahun depan akan diputuskan secara konsensus.
Menerusi hantaran di laman Facebook malam ini, beliau berkata Malaysia yang mengambil alih kepemimpinan ASEAN memilih tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ bagi mencerminkan aspirasi kemajuan bersama tanpa ada pihak yang tercicir.
“Tahun 2025 menandakan satu detik penting bagi ASEAN kerana kita akan meraikan ulang tahun ke-10 penubuhan Komuniti ASEAN dan memperkenalkan Wawasan Komuniti ASEAN 2045.
“Insya-Allah, Malaysia akan membawa ASEAN mengharungi masa depan dengan yakin, memperkukuh dan memperluas kerjasama ekonomi serantau termasuk menerusi penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-GCC (Majlis Kerjasama ASEAN-Teluk) + China pada 2025,” katanya.
Anwar, yang mengakhiri tugasan di Vientiane, Laos hari ini, mewakili Malaysia secara rasmi untuk menerima tugas selaku Pengerusi ASEAN 2025 pada Majlis Penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan dan Penyerahan Kepemimpinan ASEAN kepada Malaysia.
Perdana Menteri turut menzahirkan ucapan tahniah atas kepemimpinan Laos sepanjang mempengerusikan ASEAN tahun ini.
“Malaysia menantikan kerjasama serta sokongan mereka bersama rakan-rakan ASEAN lain sewaktu kepengerusian Malaysia tahun depan,” katanya.
Selain itu, Anwar berkata ASEAN akan berpegang teguh kepada prinsip memelihara Asia Tenggara sebagai rantau yang aman dan makmur di bawah kepengerusian Malaysia.
“Mewakili kerajaan dan rakyat Malaysia, saya dengan penuh hormat mengalu-alukan kehadiran rakan-rakan semua,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial