KLANG, 2 Dis (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit II (Selangor) merampas dadah jenis ganja, barangan elektrik, etanol serta kenderaan dianggar bernilai RM35.45 juta dalam serbuan dan pemeriksaan berasingan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Norlela Ismail berkata dalam pemeriksaan di sebuah gudang syarikat perkhidmatan kurier di Bukit Jelutong, Shah Alam, 3 Okt lepas, pihaknya merampas ganja seberat 448 gram dianggar bernilai RM13,555 dalam sebuah kotak penghantaran.
Beliau berkata bungkusan itu yang diikrarkan sebagai perhiasan perkahwinan dibawa masuk dari sebuah negara di benua Amerika dan penerima bungkusan itu sedang dikesan bagi membantu siasatan.
"Hasil pemeriksaan, kotak itu didapati berisi pelbagai bentuk dadah jenis ganja iaitu gel, bar coklat, gula-gula dan daun. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya pada sidang media di Pejabat Kastam Selangor Pelabuhan Utara di sini hari ini.
Norlela berkata 16,966 unit barangan elektrik dianggar bernilai RM1.2 juta pula dirampas hasil pemeriksaan terhadap tujuh kontena di Pelabuhan Utara menerusi Ops Renjat 2024 yang dijalankan antara 9 hingga 30 Okt lepas.
Beliau berkata barangan itu diikrarkan tidak benar sebagai televisyen paparan hablur cecair (LCD), komponen kipas meja dan lampu kecemasan bagi mengelak keperluan mendapatkan Perakuan Kelulusan (COA) bagi pengimportan.
"Hasil pemeriksaan pada kontena itu mendapati barangan elektrik berkenaan antaranya ialah vakum, air fryer, lampu, kipas, mesin basuh, televisyen pintar, monitor komputer dan pengisar, dipercayai tidak mendapat COA daripada pihak Suruhanjaya Tenaga (ST).
Norlela berkata pengimportan barangan elektrik dibenarkan tertakluk kepada Perakuan Kelulusan/Permit Import yang dikeluarkan oleh ST dan Institut Piawaian Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).
Kes katanya disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967.
Beliau berkata 26,400 liter etanol bernilai RM2.5 juta dipercayai tidak mempunyai permit import pula ditemukan di dalam 160 tong drum hasil pemeriksaan terhadap sebuah kontena di Pelabuhan Barat pada 5 Nov lepas.
Norlela berkata dagangan berkenaan diikrarkan menggunakan kod tarif yang tidak betul iaitu 2930.90.9000, sejenis bahan kimia Dithiocarbonates untuk kegunaan membuat racun serangga, justeru kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967.
Dalam kes lain, beliau berkata tujuh kenderaan mewah dianggar bernilai RM1 juta termasuk cukai disita hasil pemeriksaan terhadap 29 gudang berlesen di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur menerusi Ops Terma bermula 7 hingga 30 Okt lepas.
"Kenderaan itu antaranya ialah Mercedes-Benz, Ferrari, Nissan GTR, Jaguar serta Toyota Alphard.
"Kesalahan yang dikesan ialah menyimpan kenderaan melebihi tempoh simpanan yang ditetapkan dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial