AM

Kerajaan Sedia Salur Peruntukan Kepada NGO Anjur Program BeST - Dr Zaliha

19/01/2025 05:20 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- Kerajaan bersedia untuk menyalurkan peruntukan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau persatuan yang berminat menganjurkan aktiviti pembersihan dan keceriaan di Wilayah Persekutuan menerusi program Bersih Semua Tempat (BeST).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata inisiatif itu bagi mendorong pembudayaan persekitaran bersih dalam kehidupan seharian masyarakat di Wilayah Persekutuan.

“Kita memang ada peruntukan di peringkat Wilayah Persekutuan. Jadi kita mahu lakukan ini di peringkat komuniti dan kalau ada NGO yang berminat bekerjasama dengan kita selaku rakan strategik, kita ada sediakan bajet untuk menggalakkan mereka melaksanakannya di peringkat komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program BeST secara serentak di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan di sini hari ini.

Dr Zaliha berkata pelaksanaan program BeST itu selari usaha mewujudkan Wilayah Persekutuan sebagai bandar bersih dan mampan sekali gus membina imej negara yang positif bagi Kepengerusian ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Terdahulu, beliau melancarkan Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan sempena program Sambutan Hari Wilayah Persekutuan yang akan disambut pada 1 Feb.

Sebanyak 72,000 bendera Wilayah Persekutuan daripada pelbagai saiz diedarkan pada tahun ini melibatkan ketiga-tiga Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, menerusi hantaran di Facebook, Dr Zaliha berkata semasa tinjauan di Bukit Bintang, beliau telah mengarahkan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif untuk melakukan penambahbaikan termasuk memperbaiki tong sampah kecil dan penutup longkang yang rosak.

Selain itu, beliau juga meminta Datuk Bandar untuk menggiatkan usaha mencantikkan hoarding di kawasan pembangunan agar pemandangan bandar lebih terjaga sementara projek berkenaan disiapkan.

“Saya juga berkesempatan berbincang dengan pihak SWCorp untuk melibatkan golongan gelandangan yang produktif dalam usaha mengutip sampah di bandar raya Kuala Lumpur.

“Dengan bantuan SWCorp, mereka boleh menerima hasil keuntungan daripada timbang berat sampah yang dikutip sekali gus menyumbang ke arah matlamat sisa sifar yang kita harapkan dan juga memanfaatkan inisiatif Waste to Wealth,” katanya.

Selain itu, Dr Zaliha berkata kerjasama dengan peniaga di Bukit Bintang juga boleh dilaksanakan dengan masing-masing menjaga kebersihan di hadapan premis mereka selain DBKL perlu melakukan pemantauan aspek kebersihan di kawasan berkenaan secara berterusan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan