SANDAKAN, 16 Feb (Bernama) -- Program Jualan Rahmah MADANI yang diadakan di Bandar Ramai-Ramai di sini hari ini, diserbu penduduk yang memanfaatkan pembelian barang keperluan pada harga murah sebagai persediaan menyambut Ramadan pada awal bulan depan.
Tinjauan Bernama mendapati program itu menjadi platform untuk orang ramai terutama golongan B40 yang juga penerima Sumbangan Tunai Rahmah, menjimatkan perbelanjaan.
Pengunjung, Maryam Abbas Rauf, 40, dari Kampung Kombo di sini berkata meskipun hamil lima bulan, dia tetap bersemangat untuk ke lokasi Jualan Rahmah kerana mahu membeli barang keperluan asas yang lebih murah dan untuk stok bulan puasa .
"Hari ini saya berbelanja lebih untuk beli telur, gula, sardin, santan, sos dan sebagainya pada harga lebih murah RM3 hingga RM5 daripada harga asal.
"Saya harap kerajaan meneruskan Jualan Rahmah ini sampai bila-bila dan membuka lebih banyak tempat untuk program ini kerana ramai yang datang membeli," katanya.
Dariya Alimudin, 58, pula berkata langkah kerajaan menyediakan program jualan itu membantu meringankan golongan yang mempunyai ramai isi rumah sepertinya menguruskan perbelanjaan.
"Tidak lama lagi kita akan sambut puasa, jadi Jualan Rahmah ini bukan hanya memudahkan saya membuat persediaan malah ia lebih menjimatkan.
"Misalnya, bawang merah boleh dibeli pada harga RM9.10 sekilogram berbanding RM13 harga asal, mi segera RM3.85 berbanding harga asal RM5.50. Saya juga mengambil peluang membeli pelbagai barangan kering yang boleh disimpan seperti sardin untuk puasa nanti," katanya.
Dariya yang juga dari Kampung Kombo, berkata dia baru hari ini mengetahui mengenai program jualan itu melalui WhatsApp rakan sekampung dan berharap diadakan lebih kerap daripada dua kali sebulan kepada setiap minggu.
Kimi Binui, 64, dari Kampung Lela di sini sanggup berjalan kaki ke tapak Jualan Rahmah dan membuat pembelian barang keperluan asas untuk Ramadan dengan harga jauh lebih murah ketika happy hour.
Dia berkata sebagai contoh harga minyak masak dua kilogram yang biasanya RM13.30, dijual pada harga Rahmah RM10 dan pada sesi happy hour harganya turun lagi kepada RM8.
"Kami bukan orang senang, syukur kerajaan menyediakan pelbagai bantuan dan kita harus bijak merebut bantuan disediakan demi kelangsungan hidup yang lebih baik," katanya.
Taha Salleh, 65, dari Kampung Karamunting pula memuji usaha kerajaan yang meneruskan Program Jualan Rahmah MADANI pada tahun ini sekali gus membolehkan pembelian stok barangan makanan untuk Ramadan nanti.
"Saya dan isteri ke Bandar Ramai-Ramai hari ini selepas mengetahui ada Jualan Rahmah, kami ambil peluang beli barang untuk Ramadan. Syukur program ini diteruskan dan rakyat boleh menikmati pembelian barangan dengan lebih murah,” katanya.
Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata pada tahun ini kementerian menyasarkan pelaksanaan sekurang-kurangnya dua siri Program Jualan Rahmah MADANI dalam sebulan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri seluruh negara.
Beliau berkata pelaksanaan program jualan itu akan diperluaskan sebagai satu daripada langkah intervensi dengan menawarkan harga 10 hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga asal.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial