KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) akan menentukan kawalan supaya kenaikan premium insurans perubatan tidak terlalu tinggi sehingga menimbulkan banyak masalah kepada pesakit dan menyumbang kepada peningkatan inflasi.
Beliau berkata BNM bersama Perbendaharaan dan KKM sedang meneliti dan merangka panduan tegas untuk memastikan syarikat insurans dan pengendali takaful (MHIT dan ITO) mengambil kira pelbagai aspek sebelum menaikkan premium.
"Kenaikan ini adalah bersandarkan treshold yang lebih rendah di Malaysia serta kos perubatan dan perkhidmatan yang tinggi, seperti dijelaskan oleh syarikat insurans.
"Bagaimanapun, KKM dan BNM kini sedang menyelaraskan tindakan supaya kenaikan tersebut munasabah dan tidak membebankan rakyat," kata beliau pada sesi Waktu Pertanyaan Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mengenai langkah kerajaan mengatasi masalah kenaikan premium insurans perubatan antara 40 hingga 70 peratus, serta kadar inflasi kos perubatan negara yang mencapai 12.6 peratus pada 2023, iaitu lebih dua kali ganda berbanding purata global sebanyak 5.6 peratus.
Perdana Menteri berkata antara alasan utama kenaikan kos perubatan adalah harga ubat-ubatan, alat perubatan baharu, serta kenaikan kadar upah dan gaji.
"Pada masa ini, tiada kawalan yang ketat, malah pembelian ubat selama puluhan tahun ini telah menjadi monopoli. Oleh sebab itu, kita akan membatalkan beberapa komitmen kepada satu dua syarikat.
"Kita juga minta Kementerian Kesihatan, seperti yang dilakukan oleh beberapa negara lain untuk, melawat ke negara-negara tertentu bagi mendapat ubat generik yang lebih murah dan berpatutan. Ubat generik ini lebih banyak dihasilkan di Brazil, India dan China, yang telah melalui kajian dan semestinya tidak bergantung pada ubat dari Amerika Syarikat atau Eropah yang kosnya terlalu tinggi," kata beliau.
Anwar memberikan contoh mengenai syarikat besar yang menjual ubat kepada Malaysia pada harga RM5,000 disebabkan oleh monopoli dan kawalan yang longgar. Sebaliknya, ubat yang sama dijual di Thailand pada harga RM1,500.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan akan memperkenalkan garis panduan untuk menstandardkan kos, yang dikenali sebagai Diagnosis-related Groups (DRGs), bagi memastikan kos munasabah, seperti untuk Magnetic Resonance Imaging (MRI) atau Computerized Tomography (CT) Scan. Kerajaan juga akan meminda Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).
Perdana Menteri berkata KKM juga sedang melaksanakan program Rakan KKM dengan kerjasama syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLICs) dengan pesakit boleh memilih beberapa kemudahan tambahan dengan kos minimum.
Menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) berhubung sama ada kerajaan akan mengawal caj perubatan hospital swasta, Anwar berkata beliau menerima kadar kenaikan caj yang munasabah, namun ia harus dikawal supaya tiada keuntungan berlebihan.
"Saya terima kenyataan kenaikan yang munasabah, yang saya pertikaikan sekarang ialah kos ubat itu, adakah tepat, mengapa tidak digunakan generik, tidak dibeli secara pukal untuk mengurangkan kos," katanya.
Bagaimanapun, Anwar berkata secara umumnya, kos rawatan di Malaysia masih kompetitif berbanding negara-negara jiran dengan terdapat hospital swasta yang menerima peningkatan pesakit dari luar negara.
"Ini kerana kos (rawatan) kita dianggap rendah, jadi sedikit kenaikan premium saya fikir munasabah. Cuma bagaimana Bank Negara boleh kawal supaya ia tidak membebankan pengguna dan menyebabkan kenaikan inflasi," kata beliau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial