MELAKA, 19 Dis (Bernama) -- Kerajaan Melaka menyasarkan kira-kira 50,000 pengunjung menghadiri Festival Halal Antarabangsa Melaka 2024 (MIHF’24) yang berlangsung di sini selama tiga hari bermula esok.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata program bertempat di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) itu bagi mempromosikan negeri ini sebagai hab halal antarabangsa dan destinasi pelancongan halal utama dunia.
"Festival yang pertama kali dianjurkan ini melibatkan 300 pempamer termasuk pemain industri halal dari 19 negara," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi tetamu dalam segmen ‘Apa Khabau YB’ di konti MELAKA.fm yang turut dihadiri Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad.
Rahmad berkata penganjuran festival itu memberi peluang kepada usahawan mempromosi produk, memperluas rangkaian perniagaan dan mendapat maklumat terkini mengenai standard serta trend industri halal.
Beliau berkata MIHF’24 juga menyumbang kepada usaha mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju industri halal selain memperkenalkan Melaka sempena sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025 sebagai destinasi halal berkualiti.
“Usahawan tempatan yang bercadang memohon pensijilan halal boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi khidmat nasihat di MIHF’24,” katanya dan memaklumkan pelbagai aktiviti menarik disediakan kepada pengunjung termasuk pameran produk halal, demonstrasi masakan dan aktiviti untuk usahawan.
-- BERNAMA
© 2024 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan