AM > BERITA

Takaful Malaysia Salur Bantuan RM500,000 Untuk Mangsa Banjir

23/12/2024 04:50 PM

KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Pengendali takaful pertama di Malaysia, Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM500,000 untuk Program Skuad Musa’adah Al-Falah bersama Mangsa Banjir Seluruh Negara 2024.

Takaful Malaysia menerusi kenyataan hari ini memaklumkan sumbangan menerusi inisiatif Misi Bantuan Banjir diselaraskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang disalurkan melalui Tabung Musa’adah itu merupakan sebahagian daripada usaha memberi bantuan segera kepada komuniti terjejas akibat banjir.

Cek replika sumbangan berkenaan diserahkan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia Nor Azman Zainal kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Nor Azman berkata bantuan kewangan tersebut adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu sejajar dengan usaha dan komitmen Takaful Malaysia terhadap pembangunan dan kesejahteraan komuniti.

“Kami komited dalam memupuk tanggungjawab kolektif ke arah membantu golongan kurang bernasib baik dan membina masyarakat yang prihatin. Sumbangan ini juga sebagai tanda sokongan terhadap inisiatif kebajikan Jakim melalui Tabung Musa’adah,” katanya.

Beliau berkata Takaful Malaysia berharap agar bantuan kewangan yang disalurkan itu dapat meringankan beban mangsa banjir dan membantu mereka meneruskan kehidupan harian selepas bencana, terutamanya golongan kurang berkemampuan dan terjejas akibat bencana banjir. 

“Sumbangan ini boleh dimanfaatkan untuk bantuan kewangan harian, menyokong pendidikan, menyediakan rawatan kesihatan, membaik pulih kediaman, serta penyediaan alat sokongan bagi individu berkeperluan khas.

“Besar harapan kami agar bantuan ini dapat meringankan beban mangsa banjir dan membantu mereka bangkit semula selepas menghadapi bencana ini,” katanya.

Nor Azman berkata Takaful Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam menyokong usaha kemanusiaan dan inisiatif pembangunan sosial melalui program CSR.

Beliau berkata sokongan dan kerjasama antara agensi kerajaan, organisasi korporat dan masyarakat amat penting dalam usaha membina komuniti yang berdaya tahan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan