AM > BERITA

Lotus's Malaysia Sumbang Lebih RM100,000 Kepada Mangsa Banjir

23/12/2024 07:27 PM

KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Lotuss Stores Malaysia Sdn Bhd (Lotus’s Malaysia) terus komited dalam membantu mangsa yang terkesan banjir baru-baru ini dengan menyalurkan bantuan bernilai lebih RM100,000 menerusi inisiatif #Kitakanjiran. 

Pengarah Eksekutif Khidmat Korporat Lotus’s Malaysia Azliza Azmel berkata usaha itu adalah kesinambungan bagi bantuan misi banjir #kitakanjiran yang dilaksanakan sebelum ini dengan kerjasama Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) sebagai rakan logistik. 

“Kali ini kita menyediakan 500 pek kit pembersihan diri yang mengandungi kira-kira 20 jenis barang kepada mangsa banjir seperti pencuci pakaian, tisu tandas serta produk kebersihan diri termasuk ubat gigi, tuala, tuala wanita dan lampin bayi.

“Semua barangan ini disediakan mengikut cadangan BSMM yang lebih arif tentang keperluan mangsa banjir,” katanya ketika ditemui pemberita di dataran Lotus’s Kepong di sini hari ini.

Beliau berkata bantuan tersebut akan dihantar ke tiga negeri yang terjejas iaitu Kelantan, Terengganu, dan Kedah dengan barangan tersebut akan dikumpulkan di ibu pejabat BSMM di sini sebelum diagihkan kepada mangsa banjir. 

“Walaupun mangsa sudah pulang ke rumah masing-masing, kami tetap bertekad untuk menyediakan sokongan berterusan dengan menyampaikan kit bantuan ini kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Azliza berkata pek barangan itu sesuai untuk keperluan sebuah keluarga yang mempunyai kira-kira lima ahli keluarga dan ia mampu bertahan hingga sebulan. 

Beliau berkata 50 sukarelawan terdiri daripada warga Lotus’s Malaysia turun padang untuk membantu menyediakan pek dan mengangkat barangan bantuan tersebut sekali gus menyifatkan usaha itu sebagai sebahagian daripada komitmen mereka dalam membantu mangsa yang terkesan banjir.

Pada awal bulan ini, Lotus’s Malaysia bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan dalam menyalurkan bantuan barangan asas dan makanan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) seperti di Rantau Panjang dan Tumpat. 

Selain itu, Lotus’s Malaysia juga turun padang menghulurkan bantuan di negeri-negeri Pantai Timur bagi membantu 51 rakan sekerjanya yang terkesan dengan bencana itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan