AM > BERITA

Banjir Di Johor Bertambah Baik, Tiga Lagi Negeri Tidak Berubah

14/01/2025 09:36 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Situasi banjir di Johor bertambah baik dengan jumlah mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) terus berkurangan manakala Perak, Pahang dan Sarawak tidak berubah. 

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 1,092 orang setakat 8 malam ini berbanding 1,860 orang direkodkan petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa daripada 329 keluarga itu ditempatkan di 12 PPS di empat daerah terjejas.

Beliau berkata Kluang mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 410 orang, diikuti Pontian (354), Kota Tinggi (275) dan Johor Bahru (53).

“Jalan Mawai Lama (Rumah Burung) di Kota Tinggi masih tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan susulan dinaiki air banjir dan tiada jalan alternatif," katanya.

Di PERAK, Sekretariat JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir di Manjung kekal 31 orang daripada sembilan keluarga dari Kampung Padang Serai, Kampung Kasi dan Kampung Pengkalan Damar yang  berlindung di PPS Sekolah Agama Rakyat Padang Serai, Beruas sejak 9 Jan lepas.

Di PAHANG, menurut aplikasi Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah mangsa banjir kekal 186 orang daripada 43 keluarga yang berlindung di Balai Raya Kampung Jawa, Rompin. 

Di SARAWAK, 20 mangsa banjir daripada 13 keluarga masih ditempatkan di PPS di Dewan Kompleks Sukan Kanowit, malam ini.

-- BERNAMA

I HANI KIA ZUZ


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan